Pelakon Hafidz Roshdi merasakan tindakannya memuat naik foto tidak berbaju di laman sosial
bukanlah satu perkara negatif.

Menurut Hafidz, dia masih tahu batas apabila mengambil keputusan untuk berkongsi foto-foto
sedemikian di laman sosial.

"Ada yang tegur mengenai perkara itu, malah ada pengikut Instagram yang meninggalkan komen
mengenai perkara terbabit tetapi bagi saya, ia bukan isu besar.

"Apa yang penting, saya tahu batas dan tidak mendedahkan aurat. Saya akan menutup bahagian
pusat sebelum memuat naik foto terbabit.

"Selalunya, ketika saya mengambil gambar, saya memakai tali pinggang senaman yang menutup
pusat.

"Jika tidak, saya menyunting dahulu foto terbabit sebelum berkongsi di laman Instagram," kata
Hafidz.

Hafidz ditemui media pada majlis pelancaran cawangan pertama kedai menjual produk alternatif
berhenti merokok NCIG di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.



Majlis terbabit turut dihadiri pengasas NCIG, Shariffuddin Bujang dan rakan-rakan artis lain
seperti Aedy Ashraf, Hefny Sahad dan Farhan Asri.

Tambah pelakon drama bersiri Tundukkan Playboy Itu, dia sudah aktif bersenam semenjak sebelum
bergelar artis.

"Saya memang sudah lama aktif melakukan aktiviti kecergasan sebelum bergelar pelakon lagi.

"Jika ada peminat yang mengikuti saya di akaun Instagram lama sebelum ia digodam, pastinya
mereka tahu.

"Dari dulu lagi, saya memang suka berkongsi foto terbabit untuk memotivasikan diri dan orang
ramai.

"Tujuan saya ialah untuk sihat dan mendapat tubuh badan yang ideal. Malah, saya gemar ambil
gambar selepas bersenam untuk melihat 'progress' dan memuat naiknya di laman sosial.

"Siapa yang mengenali saya semenjak dahulu semestinya tahu minat saya, jadi saya harap tiada
pihak yang salah faham," katanya lagi.