Pengarah dan pelakon Ellie Suriaty Omar menyeru Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melakukan penambahbaikkan terhadap Akta Perbadanan Kemajuan Nasional Malaysia (Finas) 1981.

Ellie yang juga Presiden Gabung Anak Seni menyarankan supaya Akta Finas 1981 disemak semula demi melindungi hak dan kepentingan masa depan industri perfileman tanah air.

Antara penambahbaikkan yang disarankan kepada KKMM ialah menggesa kerajaan supaya menyegerakan lesen untuk pengguna sosial media khususnya pemilik laman YouTube yang menjana pendapatan daripada platform berkenaan.

"Kita perlukan akta yang lebih kukuh untuk mempertahankan penggiat industri. Pada masa yang sama, saya faham dan tidak menghalang pemilik YouTube untuk menghasilkan karya kreatif, namun ada di antara mereka yang mengambil kesempatan dengan menyiarkan video selebriti tanpa kebenaran untuk mengaut keuntungan.

"Sekiranya mereka ingin mengecam saya di atas saranan ini, silakan. Kita ada alasan kukuh mengesa kerajaan melaksanakan lesen tersebut," katanya.

Menurut Ellie lagi, apa yang dikesali terdapat pemilik YouTube yang menggunakan akaun mereka untuk mengkritik filem tempatan sehingga menjejaskan jumlah kutipan, sedangkan, mereka tidak mempunyai kredibiliti untuk berbuat demikian.

"Bila kita buat filem, ada di antara mereka yang mengkritik filem kita sedangkan golongan itu tidak mempunyai kemahiran dan ilmu sebagai pengulas bertauliah.

"Ia mengakibatkan kerugian besar kepada penerbit, pengarah, pengarah dan juga kru produksi kerana tiada orang hendak menonton filem yang dikatakan produk sampah.

"Mereka tidak fikir kesannya kepada kami, sedangkan peruntukkan untuk menghasilkan filem bukanlah murah sebaliknya mencecah jutaan ringgit. Industri kita bukan macam Hollywood, 10 peratus saja penggiat filem yang kaya dan selebihnya kategori B40," katanya.