Kerajaan sedia mempertimbang kaji langkah untuk membantu pelakon wanita Jasmine Suraya Chin Xian Mei, 35, menyambung pengajiannya di peringkat ijazah sarjana di Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg, Los Angeles di Amerika Syarikat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pihaknya sedia membantu Jasmine Suraya sekiranya perkara yang dikemukakan adalah bersesuaian.

"Saya belum mendapat perincian kepada isu tersebut. Insya-Allah saya akan minta pejabat dan staff saya untuk meneliti dan kita akan bincang apakah yang boleh dibantu sekiranya bersesuaian dengan, dan menepati syarat yang dituntut. Jadi saya akan teliti dahulu kes ini. Saya kena kaji dahulu, lihat apa yang boleh kita bantu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Ramadan CSR dan Iftar Perdana Lembah Pantai bersama Foodpanda Malaysia dan rakan kolaborasi di IWK Eco Park@Pantai Dalam di sini hari ini.

Sebelum ini, Jasmine Suraya dilapor terpaksa menjual beberapa barangan peribadi termasuk kereta bagi menanggung kos pengajiannya selama setahun di Los Angeles yang menelan belanja RM400,000 bermula April depan.

Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama yang diterima masuk ke Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg.

Sementara itu, pihak Gempak masih sedang cuba untuk menghubungi dan menunggu respons daripada Jasmin Suraya mengenai isu ini.

Sumber: Awani menerusi Bernama


Berita Trending: Artis Veteran Ditahan, Pukul Abang Ipar Guna Batang Besi

Berita Trending: Guna Taktik ‘Baki Tak Cukup’ Nak Elak Bayar, Pemandu E-Hailing Ugut Bawa…