Dek kerana roti canai, pelakon berbangsa Cina, Chelsia Ng jatuh cinta dengan pemegang watak Mat Yam dalam filem Polis Evo, Amerul Affendi.

Bibit-bibit cinta yang terjalin di antara mereka merupakan antara babak menarik yang terkandung dalam telefilem Roti Canai Love Story arahan protégé kepada Michael Ang, Chen Yong Jiam.

“Telefilem Roti Canai Love Story merupakan sebuah karya yang sangat ringkas, tetapi cerita yang dipaparkan sangat sweet dan innocent. Percintaan dua insan berlainan bangsa bermula semenjak zaman kanak-kanak dan mereka bercinta kerana roti canai.

“Watak mereka semasa kecil dibawakan oleh dua orang pelakon cilik, Angelene dan Danish Hazriq manakala watak mereka semasa dewasa digalas oleh Chelsia dan Amerul,” kata Michael kepada Astro Gempak.

Menjadi mentor kepada Chen, Michael berkongsi pengalaman sepanjang bergelar seorang pengarah bersama protégénya.

“Chen mempunyai sedikit pengalaman dalam bidang sinematografi kerana dia belajar dalam bidang tersebut. Namun begitu, masalah yang timbul adalah untuk menggarap lakonan kerana dia masih belum mempunyai pengalaman.

“Saya berperanan dalam memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman yang saya hadapi semasa berada di kerusi pengarah. Saya juga memberikan Chen beberapa judul filem agar dia membuat rujukan menerusi filem tersebut,” katanya lagi.

Jangan lupa saksikan telefilem arahan Chen Yong Jiam dalam slot Karya 12, malam ini (Sabtu), jam 10.00 malam. Roti Canai Love Story disiarkan secara eksklusif di saluran Astro Citra (131) dan Mustika HD (134). Gunakan hashtag #Karya12 #RotiCanaiLoveStory untuk berinteraksi mengenai telefilem ini di laman sosial.