Hiburan
Kerap Disamakan Dengan Suara Haqiem Rusli, Danial Kifli; "Saya Agak Terkilan"
Penyanyi Danial Kifli mengakui kerap menerima komen menyatakan punyai suara mirip penyanyi popular Haqiem Rusli.
Melancarkan lagu terbaharu berjudul Jauh, Danial menegaskan dia dan Haqiem punyai ton suara yang berbeza.
"Sebagai penyanyi dan penulis lagu, saya agak terkilan bila ada yang tak kenal. Malah, ramai juga yang samakan saya dengan Haqiem Rusli. Saya kurang bersetuju. Level Haqiem jauh lebih tinggi.
“Saya pula baru nak menapak. Tone kami juga agak berbeza. Mungkin orang sudah terbiasa mendengar lagu-lagu Haqiem dan bila dengar lagu saya, mereka ingat sama.
“Saya mendengar lagu-lagu Haqiem sejak kecil. Cara nyanyian kami juga berbeza," ujarnya kepada Gempak.
Danial yang ditemui pada majlis pelancaran lagu dan muzik video terbaharunya berjudul Jauh di Juff Coffee, Southville, Dengkil, Selangor baru-baru ini akui mahu memberikan fokus dalam lagu-lagu balada.
"Selepas empat single, saya nampak hala tuju saya lebih ke arah lagu-lagu berentak balada. Jadi saya mahu mengukuhkan kedudukan saya dalam genre muzik balada ini sebelum mencuba sesuatu yang baharu," tambahnya.
BERITA TRENDING: #GMWA2023: Danial Kifli Akur Tewas, Bakal Lancarkan Pergilah Cinta Versi Jawa Buat Peminat Indonesia!
Lagu Jauh dicipta oleh komposer Sang Ritma selain mendapat sentuhan lirik dan melodi daripadanya Danial sendiri.
"Alhamdulillah, ini merupakan single saya keempat selepas Permata Istimewa, Pergilah Cinta & Musnah. Saya bersyukur dengan sambutan luar biasa yang diterima oleh pendengar.
"Lagu Jauh ini menceritakan tentang kehilangan dua insan tersaayang serentak yang membuatkan hidup lelaki itu jadi kosong, keliru dan sedih.
"Istimewanya lagu ini adalah jalan ceritanya yang penuh tersirat dan lirik yang mendalam. Melodi pula kena dengan jiwa saya," jelasnya.