Baru-baru ini, kecoh di laman sosial mengenai kedegilan pemandu sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Singapura yang enggan berhenti apabila didekati pihak berkuasa.

Lanjutan daripada isu video viral berkenaan, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kereta tersebut telah disenarai hitamkan dan rakaman video tersebut juga merupakan rakaman video lama.

"Kereta jenis Honda Civic itu memotong barisan di laluan lori untuk masuk ke Singapura dan hingga kini polis masih mengesan pemilik kenderaan.

"Bagaimanapun, kereta itu telah disenarai hitam untuk tindakan selanjutnya. Orang ramai diminta berhati-hati dalam membuat komen yang boleh menimbulkan spekulasi, andaian negatif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejadian tersebut dilaporkan pada 23 September tahun lalu. Raub Selamat juga mengesahkan video insiden yang ditularkan kembali itu berlaku di laluan masuk ke Singapura dari Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.

Dalam video tular itu, anggota polis trafik dilihat berusaha memberhentikan kereta berkenaan selepas melakukan kesalahan memotong barisan, namun pemandu enggan, termasuk tidak menurunkan tingkap apabila diarahkan.

Pemandu itu sebaliknya meneruskan perjalanannya dalam keadaan trafik sesak.

Sumber: Harian Metro

BACA: Pemandu Singapura Degil, Tak Mahu Berhenti Walaupun Ditahan Polis Trafik​