Siapa yang tidak kenal dengan pelakon dan penyanyi kacak Alvin Chong? Sejak mula menceburkan diri dalam industri hiburan Melayu, namanya begitu mudah dijulang pengikut setia arena seni tempatan.

Setelah lama tidak muncul dengan buah tangan baharu untuk para peminat setianya, Alvin Chong kini kembali dengan sebuah lagi karya menarik berjudul ‘One And Only’, lagu yang diilhamkan dari kisah peribadinya.

"Ia menggambarkan perasaan saya beberapa tahun yang lalu. Lebih tepat sewaktu pandemic Covid-19. Tika itu, saya banyak menghabiskan waktu di dalam kereta bersendirian. Ini kerana sebaik sahaja saya keluar dari kereta saya rasa seperti ada beban.

"Ada tekanan dan tanggungjawab yang perlu saya laksanakan sebagai seorang anak, artis, abang dan juga kawan.

"Saya rasa seolah-olah berada di dalam kereta adalah satu-satunya tempat yang saya anggap zon selamat dan selesa buat diri sendiri. Malah pada saat itu, walaupun sudah penat bekerja seharian saya mengalami masalah untuk tidur," jelas Alvin tentang karya terbaharu ini.



Namun, Alvin yakin semua orang pasti pernah melalui situasi seperti ini sehingga rasa sangat sulit untuk meneruskan kehidupan.

"Tetapi saya percaya selepas hujan pasti ada pelangi, sesudah malam yang gelap tentu ada pagi yang terang. Seusai detik-detik hitam pasti ada saat indah yang menjelma," kata Alvin lagi.

Kolaborasi MFMF

Lagu yang ditulis bersama kumpulan komposer terkenal MFMF ini mengambil masa dua hari untuk dizahirkan.

"Kami mulanya berborak panjang sekitar dua jam untuk mendapatkan idea utama lagu ini. Setelah menjelaskan ia berkisar perasaan saya, kami kemudian memikirkan lirik dan bunyi yang sesuai.

"Sungguhpun ia bernuansa sedih dan sendu saya tidak mahu ia menjadi balada suram. Saya mahu ia menjadi lagu yang lebih rancak biarpun lirik sedikit bertentangan.

"MFMF setuju dengan idea itu dan berjaya memberikan apa yang saya mahu. Ia mudah untuk dinikmati dan boleh didengar secara santai," tambahnya.

Alvin Chong tunggu jalan lengang

Muzik video lagu tersebut telah menjalani penggambaran di Klang, Selangor.

"Pada mulanya, video muzik ini mengambil masa dua hari untuk disiapkan. Namun dua minggu kemudian kami mengambil keputusan untuk menambah satu lagi babak dengan kumpulan kugiran yang memainkan muzik iringan.

"Ini untuk mengingatkan para peminat saya bahawa saya bukan sahaja seorang pelakon tapi sebenarnya bermula sebagai penyanyi juga.

"Namun ada beberapa cabaran untuk menghasilkan video ini. Yang pertama, cuaca yang sangat panas ditambah dengan aneka lapisan pakaian yang perlu saya kenakan pada hari tersebut. Kedua, kami terpaksa tunggu saat jalanan kosong tanpa kereta untuk mendapat syot terbaik," ujarnya.

Saat ditanya apakah harapan Alvin untuk lagu ini, dia memberikan jawapan yang sangat mudah namun berkesan.

"Saya harap sesiapa yang mendengar lagu ini akan terus percaya bahawa sentiasa ada harapan dalam kehidupan. Janganlah putus asa kerena proses pendewasaan memang tidak mudah.

"Semuanya mampu diselesaikan kerana Tuhan tidak akan membebani seseorang dengan sesuatu yang tidak dapat diatasi. Terus yakin dan percaya sambil memberikan yang terbaik dalam hidup seharian. Jangan sesekali berputus asa!" kata Alvin menutup bicara.

Single ONE & ONLY boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music yang telah pun keluar pada 25 Novmber jam 12 tengah malam bersama dengan music videonya boleh ditonton di laman YouTube Universal Music Malaysia.