Penganjuran anugerah muzik tahunan Grammy yang dijadualkan pada 31 Januari ini terpaksa ditangguh ekoran penularan wabak Covid-19.

Perkara itu disahkan penganjur yang memaklumkan bahawa majlis anugerah itu akan dianjak ke satu tarikh lain disebabkan kebimbangan penularan pandemik itu.

"Selepas berbincang dengan pakar kesihatan, rakan penyiar, hos dan artis, kami membuat keputusan untuk menangguhkan terlebih dahulu Anugerah Grammy ke tarikh baharu 21 Mac 2021," kata presiden Recording Academy, Harvey Mason Jr.

Anugerah berkenaan dijadual berlangsung di Staples Center di Los Angeles, namun bandar tersebut merupakan salah satu wilayah yang terkesan dengan wabak.

Lapor portal Rolling Stone lagi, majlis anugerah itu juga dijangka akan dianjur tanpa kehadiran penonton di mana hanya penyampai serta artis undangan sahaja dibenarkan hadir.

Malah, pemenang juga akan diberikan trofi anugerah secara terkawal.

Anugerah tahun ini menyaksikan pelbagai pencalonan daripada bintang ternama antaranya Beyonce, Taylor Swift, Billie Eilish, Dua Lipa, Post Malone, dan Doja Cat.

Malah, bintang K-pop BTS juga dicalonkan dalam kategori Pop Duo / Kumpulan Terbaik.

Anugerah Grammy tahun ini akan dihoskan oleh Trevor Noah.

Sumber: Reuters, Rolling Stone