Sejak awal minggu ini, angka jangkitan COVID-19 di Malaysia dilihat semakin meningkat. Sehingga semalam, sebanyak 3,589 kes baharu direkodkan dengan enam kematian.

Justeru, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menasihati mereka yang masih belum menerima dos penggalak untuk berbuat demikian, bagi melindungi diri daripada jangkitan virus berbahaya itu.

“Terdapat peningkatan kes COVID-19 sebanyak 31 peratus pada lima hari yang lepas berbanding minggu lepas. Peningkatan kes ini didorong oleh varian Omicron yang mudah merebak. Kadar keberjangkitan semula Omicron adalah 6.3 kali lebih tinggi daripada gelombang Delta.

“Ikutan daripada peningkatan kes ini, mereka yang belum menerima dos penggalak amat digalakkan untuk menerimanya segera. Masih ramai yang belum dapatkan booster. Keberkesanan vaksin COVID-19 berkurang selepas beberapa bulan jadi dapatkan booster untuk tingkatkan perlindungan,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Dalam pada itu, menurut Khairy, warga emas, petugas barisan hadapan dan mereka yang mempunyai komorbid disarankan untuk mengambil dos penggalak kedua dalam tempoh 4 hingga 6 bulan selepas menerima dos penggalak pertama.

“Dos penggalak kedua boleh didapatkan di PPV yang disenaraikan di laman web protecthealth.com.my atau boleh menempah janji temu di MySejahtera bagi 60 tahun ke atas.

“Kanak-kanak dan remaja berisiko tinggi juga disarankan untuk mendapatkan dos ketiga sebagai vaksinasi primer tiga dos. Remaja 12-17 tahun yang berisiko tinggi dan telah menerima dos ketiga boleh diberikan dos penggalak.

“Pesakit COVID-19 18 tahun ke atas yang memenuhi kriteria boleh diberikan ubat antiviral Paxlovid untuk merawat jangkitan COVID-19. Sila ke CAC atau hospital berdekatan untuk penilaian,” katanya.