Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kes Dera Bella : Ada Unsur Konflik Kepentingan, Ras Adiba Radzi Sokong Lucutkan Syed Azmi

Syafiqah Jalal
12/04/2022 02:49 MYT
Aktivis sosial, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi menyokong penuh memorandum yang mengesyorkan untuk menamatkan lantikan Syed Azmi Alhabshi sebagai Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Kata Ras Adiba terdapat percanggahan kepentingan memandangkan Syed Azmi merupakan Pengasas Bersama Pusat Perlindungan Rumah Bonda NGO, di mana Bella iaitu kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) yang tular dengan kes deranya itu ditempatkan.

“Perkara ini saya akan bawa kepada perhatian terus YAB Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-undang).

“Percanggahan kepentingan ini berlaku apabila Penasihat MBKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pemegang Amanah YKN (Syed Azmi) juga merupakan Pengasas Bersama Pusat Perlindungan Rumah Bonda NGO, di mana Bella ditempatkan.

“Ini jelas menunjukkan terdapat isu integriti dan percanggahan kepentingan (conflict of interest),” katanya.
Ras memberi kenyataan itu di akaun Instagram miliknya.

Menerusi entri yang sama telah menunjukkan penyerahan memorandum tersebut.

Memorandum itu telah disampaikan oleh pensyarah dan aktivis kanak-kanak, Muhamad Firdaus Ibnil Hajar yang diusahakan bersama dua peguam yang juga aktivis kanak-kanak, Fatihah Jamhari dan Megat Syazlee Mokhtarum.

BACA: “Dia Arah Saya Gigit Perut Bella”- Dakwa Saksi Pengasas Rumah Bonda

Kes Bella tular di media sosial tahun lepas selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.

Susulan itu, pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

#Ras Adiba Radzi #Justice For Bella #Kes Dera Bella #Syed Azmi
;