Keputusan sama ada pertuduhan jenayah seksual membabitkan pendakwah selebriti Da’i Syed bakal diteruskan atau ditarik balik, akan mengetahui pada 31 Mei ini.

Menerusi laporan Bernama, pengadu dalam kes itu telah menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap tertuduh.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya P. Vitiya Monisha memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Jamaludin Mat arahan lanjut berhubung perkara itu belum diperoleh daripada ibu pejabat (Jabatan Peguam Negara).

“Maka saya mohon satu tarikh lain ditetapkan dalam tempoh sebulan,” kata Vitiya Monisha.

Sementara itu, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful berkata kes itu telah dipertimbangkan sebelum ini dan tidak akan mengambil masa yang lama untuk diputuskan.

Syed Amirul ketika ditemui pemberita berkata walaupun pengadu telah menarik balik laporan polis, pihak pendakwaan masih mempunyai kuasa meneruskan pendakwaan terhadap anak guamnya.

“Kes itu masih boleh didengar (perbicaraan) kerana pihak pendakwaan boleh memaksa saksi ke mahkamah untuk memberi keterangan dengan meminta sapina dan waran tangkap dikeluarkan.

“Sama ada pihak pendakwaan akan meneruskan kes atau tidak, kami bersedia dalam kedua-dua keadaan," kata peguam itu yang ditemani Syed Shah Iqmal.

Sekadar info, pada 20 April lalu, mahkamah menangguhkan perbicaraan kes itu kepada hari ini berikutan saksi yang juga mangsa dalam kes itu tidak hadir pada prosiding itu (20 April 2022).

Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal, 27, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap wanita berumur 22 tahun (ketika itu) dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana di sini, antara 3 hingga 4 pagi, 17 Okt 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi kes menggunakan kekerasan jenayah, pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Sumber: Bernama