Isteri kepada pelawak terkenal Nabil Ahmad iaitu Nazirah Ayub mengakui sedikit sebanyak kes rumah tangga melibatkan selebriti memberi kesan kepada mereka suami isteri.

Nazirah atau Zira bagaimanapun berkata dia dan suaminya sentiasa mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku dan berhati-hati dalam setiap percakapan.

“Tidak dinafikan sedikit sebanyak hal rumah tangga yang berlaku dan menimpa rakan-rakan artis ada juga memberi kesan kepada kami berdua.

“Tapi itu sebenarnya untuk kami berdua ambil pengajaran daripada yang berlaku. Pada pandangan peribadi saya, kejadian tersebut jika mahu terjadi, tetap akan terjadi juga.

“Tidak boleh cakap nak berhati-hati, jaga macam mana pun seperti perut dia la itu dan ini, kalau ingin berlaku, tetapi Allah kata berlaku,” katanya.

Menurut Nazirah, dia dan Nabil mengamalkan rutin seperti berkongsi lokasi dan aktiviti harian ketika berada di luar rumah untuk bekerja.

“Rutin kami dari dulu hingga sekarang adalah sentiasa berkongsi di mana keberadaan masing-masing. Apa yang dilakukan dan sebagainya.

“Jadi ada kepercayaan antara satu sama lain. Saya sebagai seorang isteri dah buat yang terbaik untuk bahagian saya dan begitu juga dengan Nabil sebagai suami.

“Kalau nak curang dia rugilah, saya okay sahaja. Bini awak dah cukup elok dengan tiga orang anak perempuan, apa lagi awak nak, saya tidak rugi apa-apa,” ujarnya.

Terdahulu, Nabil pernah mendedahkan kes kemelut rumah tangga yang menimpa rakan selebriti sedikit sebanyak memberi kesan kepada isterinya, Nazirah Ayub.

Untuk rekod, Nabil dan Zira selamat mendirikan rumah tangga pada September 2011. Pasangan itu dikurniakan tiga orang ccahaya mata perempuan iaitu Nayla Mikayla, 11, Leyla Medyna, 9, dan Mishall Imani, 4.