Berita

Kes Tembak Di KLIA1, Suspek Direman 7 Hari

gempak
Gempak
16/04/2024
03:00 MYT
Sponsor Banner
Kes Tembak Di KLIA1, Suspek Direman 7 Hari
Mahkamah Majistret Kota Bharu di sini, hari ini, membenarkan suspek yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hujung minggu lalu ditahan reman selama tujuh hari.
Perintah reman hari ini sehingga 22 April (Khamis) itu dikeluarkan Hakim Tuan Rais Imran Hamid bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas suspek.

Iringan ketat Polis

Sebelum itu, suspek yang memakai baju lokap bewarna ungu dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu dengan iringan ketat anggota polis sekitar jam 8.30 pagi tadi.
Pada Isnin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek berusia 38 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Kota Bharu, hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman
Menurut Mohd Shuhaily, suspek berada dalam keadaan sihat secara fizikalnya.

Suspek larikan diri

Terdahulu media melaporkan, selepas melarikan diri lebih daripada 36 jam, akhirnya suspek lelaki, Hafizul Harawi, 38, yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA, Sepang ditahan polis, pada Isnin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata suspek ditahan di sebuah lokasi di Kota Bharu, kira-kira jam 3 petang semalam selepas 36 jam melarikan diri.
Suspek ditahan di hadapan sebuah hospital swasta oleh Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kelantan.

Tertembak pengawal peribadi

Sebelum ini juga, suspek telah melepaskan dua das tembakan dengan menyasarkan isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah pada Ahad.
Bagaimanapun, satu tembakan jarak dekat itu telah tersasar, manakala satu lagi das mengenai pengawal peribadi isteri suspek dan dilaporkan parah.
Siasatan polis mendapati kejadian bermotifkan perihal peribadi membabitkan suspek dan isterinya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Sumber: SINAR HARIAN

Berita Trending: Insiden Tembak KLIA: Isteri Sedang Hamil, Dalam Proses Cerai

BeritabTrending: Lelaki Mahu Tembak Isteri Di KLIA, Tertembak Pengawal Peribadi
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live