Isteri kepada suspek tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)Terminal 1 dikatakan sedang hamil dan mereka dalam proses perceraian.

BERITA TRENDING: Lelaki Mahu Tembak Isteri Di KLIA, Tertembak Pengawal Peribadi

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kedua-dua mereka (mangsa dan suspek) mempunyai syarikat agensi pelancongan dan keberadaan isteri di KLIA itu adalah untuk menyambut kepulangan jemaah umrah yang baru pulang pagi tadi.

“Itu pertalian antara mangsa dan suspek. Kita difahamkan sebegitu (dalam proses bercerai).

“Ya, (mangsa sedang mengandung) pada peringkat awal kehamilan,” katanya dalam sidang akhbar di Sepang pada Ahad.

Shuhaily berkata, kejadian tembakan itu berlaku pada pukul 1.20 pagi yang dilakukan seorang suspek Melayu yang pada mulanya telah melempar satu mercun dan mencederakan dua orang awam.

Kata beliau, suspek kemudiannya bertindak nekad menghampiri mangsa iaitu isteri beliau sendiri yang mengambil khidmat dua orang pengawal peribadi.

Lepas dua das tembakan

Jelasnya, suspek telah melepaskan dua das tembakan dalam jarak dekat sekitar dua ke tiga meter yang mana satu das tersasar dan satu das lagi mengenai pengawal peribadi itu.

“Mangsa target sebenar insiden ini terselamat. Setelah melepaskan dua das tembakan tersebut dia telah melarikan diri ke aras dua blok C di mana beliau datang dan meletakkan kereta beliau di situ.

“Dari pengamatan siasatan awal sememangnya jelas dan dapat mengenal pasti suspek mempunyai senjata,” katanya.

Suspek tiada permit pemilikan senjata api

Menurut Shuhaily, suspek tidak ada permit pemilikan senjata api dan polis percaya dia mendapatkan senjata itu secara haram.

Pada masa ini, katanya, pihak polis belum mengenal pasti jenis senjata yang digunakan dan motif kejadian adalah semata-mata berunsur peribadi tanpa ada sasaran lain.

Bagaimanapun, beliau memuji tindakan cekap pengawal peribadi itu yang menjalankan tugas dengan cemerlang kerana berjaya menghalang tembakan daripada mengenai mangsa sasaran.

“Keadaan pengawal peribadi itu masih dalam kritikal sebab mengenai bahagian perut, selepas keadaan kembali stabil, pembedahan selanjutnya akan dijalankan ke atas beliau.

“Sekarang ini dalam proses kenal pasti (saksi) sudah tentu polis-polis bantuan yang memberi tindakan awal dan orang awam sekitar kawasan.

“Difahamkan tak lebih dari 30 orang berada di kawasan sekitar apabila kejadian berlaku. Sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku di pintu masuk negara,” katanya.

Sumber: Utusan