Kes Video Berpeluk, Kak KM Mohon Netizen Henti Kecam Saiful Apek - “Saya Anggap Dia Seperti Abang…
Pempengaruh dan usahawan Kak KM memohon agar orang luar berhenti untuk mengecam pelawak Saiful Apek susulan tular video yang memaparkan pelawak tersebut merangkul pinggangnya di media sosial.
Tampil berkongsi semula mengenai kejadian tersebut, Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli berkata perkara tersebut berlaku secara spontan.
Malah, suaminya juga turut berada berhampiran mereka ketika situasi tersebut berlaku.
“Jangan kecam abang Apek. Kasihan, dia tak biasa kena kecam. Benda itu spontan. Saya cakap padanya tak kisahlah kena kutuk kerana benda itu sekejap sahaja.
“Kita dah macam adik-beradik. Suami saya pun ada di situ dan nampak kejadian tersebut memang spontan serta tak nampak macam dia (Apek) nak ambil kesempatan.
“Apek ada isteri dan anak serta sudah berhijrah. Saya juga menghormatinya,” katanya kepada Gempak semasa sidang media Gerobok Biru Gegak Gempita Raya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Hormat sebagai 'abang'
Di samping itu, anak kepada pelakon senior Normah Damanhuri itu juga memaklumkan bahawa dia sangat menghormati pelawak tersebut selain sudah menganggap Saiful sebagai abang dan selesa bersamanya.
“Sebenarnya, saya selesa dengannya sebab dia (Apek) bukan lelaki gatal yang cuba nak ambil kesempatan sebab kalau jumpa lelaki gatal saya akan jauhkan diri.
“Ketika insiden itu, dia datang jumpa mama (ibu) saya, bersalam dan cium tangan semua. Saya berasa macam dia seperti abang sahaja,” kongsinya.
Bukan itu sahaja, berkongsi mengenai momen ketika pertama kali berjumpa pelawak tersebut, Kak KM juga menyifatkan Saiful sebagai seorang individu yang baik dan mempunyai penampilan menarik.
“Bagi saya, dia (Apek) seorang yang baik, cakap lembut dan tidak menyakiti hati orang lain serta ‘good looking’ (tampan).
“Dia juga beritahu suka menonton video bagaimana saya melayan mama (ibu) dengan baik yang di muat naik dalam media sosial,” jelasnya.
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan Saiful berpelukan dengan Kak KM yang didakwa bergambar dalam sebuah majlis.
Tindakan tersebut mencetuskan kecaman netizen malah pendakwah bebas, PU Syed turut menegur dan menitipkan nasihat tentang batas pergaulan antara bukan mahram.
Selepas itu Apek juga tampil memohon maaf atas ketelanjuran perbuatannya dan berharap insiden berkenaan tidak lagi dipanjangkan.