Hiburan

Ketepikan 20 Peserta Serata Asia Tenggara, Penyanyi Malaysia Ini Bersaing Dengan 3 Peserta Indonesia Untuk....

gempak
Kamaruddin Razal
13/10/2019
23:00 MYT
Sponsor Banner
Ketepikan 20 Peserta Serata Asia Tenggara, Penyanyi Malaysia Ini Bersaing Dengan 3 Peserta Indonesia Untuk....
Penyanyi baru, Eranzz atau nama sebenarnya, Shah Iran Shahdan yang mewakili Malaysia kini dalam persaingan untuk menempatkan diri ke pusingan akhir pentas pertandingan nyanyian anjuran stesen televisyen Indosiar, Golden Memories Asia.
Golden Memories Asia merupakan sebuah pertandingan pencarian bakat nyanyian lagu-lagu nostalgia era 1970-an sehingga 2000 yang diikuti oleh enam negara Asia Tenggara iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina dan Timor Leste.
Bermula dengan 24 peserta, Eranzz berjaya meloloskan diri 'menewaskan' 20 peserta lain dari pelbagai negara.
Kini, Eranzz berada di saingan Top 4 bersama tiga peserta Indonesia lain iaitu Joy Tobing, Lucky Octavian dan Vanda Gomes.
Menerusi pusingan pertama saingan Top 4 Golden Memories Asia yang berlangsung Jumaat lalu, Eranzz membawakan lagu Bimbi nyanyian asal Titiek Puspa dan di akhir persaingan pusingan pertama, Eranzz berjaya mendapat tempat kedua dari empat peserta.
Peserta Top 4 sekali lagi akan membuat persembahan di pusingan penentuan yang bakal berlangsung malam ini (14 Oktober).
Pusingan penentuan Top 4 itu akan menyingkirkan seorang peserta yang mendapat markah paling rendah dan pusingan 'grand final' Golden Memories Asia akan berlangsung pada 15 dan 17 Oktober ini.
Selain Eranzz, Malaysia diwakili oleh dua penyanyi wanita iaitu Farawahida dan Akma Abdullah (bekas peserta Akademi Fantasia 3) serta seorang lagi penyanyi baru, Azim.
Nasib tidak menyebelahi Farawahida, Akma dan Azim yang sudah tersingkir dari persaingan Golden Memories Asia.
Farawahida tersingkir di persaingan Top 12 manakala Azim dan Akma pula tersingkir di pusingan Top 9.
Antara komentator yang terlibat dalam Golden Memories Asia ialah Datuk Sheila Majid, Amy Search, Hetty Koes Endang, Soimah Pancawati, Ruth Sahanaya, Desy Ratnasari, Najip Ali dan ramai lagi.
Rancangan Golden Memories Asia ini diacarakan oleh Ramzi, Gilang Dirga, Irfan Hakim, Indra Bekti, Jirayut Afisan serta dua selebriti Malaysia, Uyaina Arshad dan Zizi Kirana.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live