Hiburan
Bukan Tolak Rezeki, Shiqin Kamal Bosan Bawa Watak Penyondol - “Seolah-Olah Macam Template”
Pelakon, Shiqin Kamal berharap akan ada pihak yang berani menghasilkan skrip yang lebih bijak kerana bosan dihidangkan dengan jalan cerita yang sama.
Bukan mahu menolak rezeki tawaran, namun pemilik nama Nur Ashiqin Mohd Kamal,32, akui timbul rasa bosan apabila memainkan watak yang sama.
“Saya harap sangat ada orang yang berani buat skrip lebih bijak sebab kita asyik tengok benda sama, seolah-olah macam template. Asyik babak orang ini goda orang itu dan dapat juta-juta.
“Bukan kata saya tidak berminat lagi untuk bawakan watak sebegitu, nanti dikata tolak rezeki.
“Tapi bila sering bawakan watak sama tentulah timbul rasa bosan. Berilah peluang kepada pelakon wanita berlakon dalam cerita aksi atau risikan,” katanya kepada Gempak.
Pada masa sama, Shiqin juga berharap dimana pengarah atau penerbit boleh memberikan peluang kepada seseorang pelakon untuk mencuba sesuatu watak baharu.
Jelasnya, Malaysia mempunyai banyak pelakon yang berbakat namun mereka terjerat kerana ada tanggapan wajah mereka hanya boleh membawakan satu watak sahaja.
“Sebenarnya kita ada saja pelakon berbakat yang boleh bawakan pelbagai watak berbeza tetapi bila dia dah dilabelkan hanya sesuai bawakan sesuatu watak, maka dia akan diberikan watak sama saja.
“Beri peluang dengan buat uji bakat untuk mengetahui sama ada pelakon itu mampu atau tidak. Mungkin tidak sebarangan pelakon, tetapi memilih pelakon yang boleh melakonkan sesuatu watak dengan baik.
“Sekiranya dia boleh berlakon watak air mata, beri peluang untuk mencuba watak lain juga. Jangan skeptikal dengan satu watak sahaja. Seperti saya, jangan kerana saya memiliki bentuk muka yang garang, jadi saya sering diberi watak jahat,” katanya.
Pelakon yang popular dengan filem Ada Hantu itu, sendiri akui jika dia diberi peluang untuk berlakon seperti Angelina Jolie dia sanggup untuk korbankan masa bagi menjalani latihan fizikal atau diet yang ketat bagi membawakan karakter itu.
Shiqin ditemui ketika malam gala tayangan filem Riversi arahan pengarah hebat, Adrien Teh.
Selain Shiqin, Reversi dibintangi Beto Kusyairi, Vanidah Imran, Hasnul Rahmat, Azhan Rani dan Zahiril Adzim dan akan mula ditanyangkan pada 19 Disember depan.
Must-Watch Video