Berita
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Disahkan Positif COVID-19, Doakan 5 Lagi Ahli Politik Ini Moga Sembuh Dari Wabak Ini
Baharu sahaja dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor disahkan positif COVID-19 semalam.
Beliau kini menjalani kuarantin wajib di Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu.
Hajiji baru beberapa hari menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu. Langkah itu dibuat secara sukarela oleh Hajiji setelah beliau akui terdedah kepada individu positif COVID-19.
Sejak minggu lalu, Menteri dan beberapa ahli politik telah disahkan positif Covid-19.
Kebanyakan mereka baru pulang dari terlibat dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.
#1 Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengesahkan dirinya positif Covid-19 pada 5 Oktober lalu.
Beliau juga menyeru orang ramai yang menghadiri majlis melibatkan dirinya pada 24 September hingga 4 Oktober lalu menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.
#2 Ahmad Masrizal Muhammad
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad dijangkiti wabak tersebut pada 3 Oktober selepas dia berkempen di Kota Kinabalu, Sabah.
Antara program yang telah dihadiri adalah gotong-royong pada 25 September di pantai Tanjung Lipat Kota Kinabalu untuk berkempen bagi calon BN kawasan Likas Chang Kee Ying.
Beliau pada awalnya disahkan negatif Covid-19 pada 1 Oktober namun dimasukkan ke Hospital Sg Buloh selepas mempunyai beberapa gejala.
#3 Shatiri Mansor
Adun Kota Damansara, Shatiri Mansor membuat pengumuman secara umum berhubung keputusan Covid-19 dirinya yang disahkan positif.
Pada 30 September, dia dimaklumkan bahawa isterinya positif wabak tersebut dan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
Beliau juga disahkan positif pada 5 Oktober. Shatiri berkata mereka telah menjalani kuarantin di rumah sepanjang tempoh menunggu keputusan.
Shatiri dan isterinya telah ke Kota Kinabalu, Sabah untuk berkempen buat calon PKR kawasan Api-Api pada 22 Sept lalu.
#4 Nor Hayati Bachok
Adun Maharani, YB Nor Hayati Bachok disahkan positif Covid-19 selepas membuat ujian saringan kali kedua.
Nor Hayati telah berkempen buat calon Amanah di kawasan Tanjung Keramat, tidak jauh dari Kota Kinabalu, Sabah.
Beliau kemudian pulang dari Sabah pada 26 September dan keputusannya ketika itu negatif.
#5 Azman Nasrudin
Jangkitan Adun Lunas, Azman mula diketahui selepas 600 pelajar di SK Permatang Janggus Pulau Pinang diminta untuk melakukan ujian saringan Covid-19 susulan terdapat seorang guru positif wabak tersebut. Guru itu merupakan isteri Azman.
Menerusi akaun media sosial Azman, dia telah berkempen buat Perikatan Nasional (PN) di Kalabakan, Sabah di antara 19 hingga 21 September.
Dia kemudian ke Kedah untuk mengedarkan kerusi dan meja di sebuah masjid di kawasannya pada 23 September.
Must-Watch Video