Kim Ker Bee? Ramai Kata Salah Dengar Umum Nama Tempat Ketiga Dewi Remaja 2022, Fikry Ibrahim; “Saya Tak Salah Sebut"
Shahrin Zulkifle
04/09/2022 09:00 MYT
04/09/2022 09:00 MYT
Pelakon dan pengacara Fikri Ibrahim,28, mendedahkan bahawa dia tidak melakukan kesalahan ketika menyebut nama pemenang tempat ketiga Dewi Remaja 2022 iaitu Kimberly, seperti yang didakwa segelintir netizen.
Jelas pemilik nama asal Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, berkemungkinan salah faham itu timbul hanya kerana dia tidak menyebut penuh nama pemenang tersebut.
“Saya percaya saya tidak salah sebut, saya sebut nama betul, mungkin saya hanya tidak menyebut penuh nama Kimberly, saya sebut Kim sahaja. Jadi yang menonton dirumah dan dewan mungkin pendengaran mereka sedikit berbeza.
“Dekat kertas yang saya terima tulis Kim, sebab itu saya sebut Kim dan bukannya Kimberly,” ujarnya kepada Gempak usai dia mengacarakan pentas akhir Dewi Remaja 2022 yang berlangsung semalam.
Tambah Fikri, dia memandang isu tersebut sebagai satu perkara yang positif dalam kerjaya seninya terutama dalam bidang pengacaraan.
“Bila ada yang menyebut-menyebut di Twitter itu saya rasa itu perkara biasa, nak menyalahkan itu mudah, nak memperbetulkan itu susah
“Bagaimanapun saya mengambil perkara itu sebagai satu yang positif untuk kerjaya saya sebagai seorang pengacara dan mudah-mudahan untuk yang akan datang, pengacaraan saya menjadi lebih baik,” tambahnya.
Terdahulu, nama Fikri menjadi bualan segelintir pengguna laman sosial Twitter apabila ada yang mengatakan dia tidak seharusnya menyebut nama ringkas Kimberly.
“Nama pentas dia Kimberly, sebut la Kimberly.
“Nama elok Kimberly, tapi Fikri sebut Kim Kim Kim masa announce tempat ketiga,” kongsi beberapa pengguna laman Twitter.
Sementara itu, acara kemuncak Dewi Remaja 2022 yang berlangsung di Dewan Sri Putra pada Sabtu telah menyaksikan gadis kelahiran Sabah, Tracie Sinidol diangkat sebagai Juara.
Menerusi kemenangan itu, Tracie, 21, yang turut dinobatkan sebagai pemenang Dewi Favourite berjaya membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM10,000 berserta trofi dan sebentuk tiara.