Pemain sensasi bola sepak wanita negara, Intan Serah, 24, membanggakan negara apabila telah pun dilamar menjadi kelab bola sepak yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS) iaitu New York Dutch Lions FC (NYDLFC).

Perkara itu dimaklumkan NYDLFC menerusi akaun Instagram pada Isnin yang berkata Intan telah ditandatangani untuk menyertai pasukan itu.

"Berlaku sedikit penangguhan kerana visa yang dia perlukan dari kedutaan. Tetapi sekarang, itu semua telah diselesaikan dia boleh memulakan perjalanannya bersama kami!

"Selamat datang ke New York dan kami teruja untuk memiliki anda Intan!" jelas kenyataan itu.
Malah atlet itu telah pun berada di New York untuk memulakan latihannya di sana.

Nama Intan Serah, 24, bukanlah asing lagi dalam arena bola sepak dan futsal negara. Intan sebelum ini menjadi aset penting dalam pasukan wanita kebangsaan dan kali terakhir beraksi di Sukan SEA Vietnam tahun lalu.

Selain bidang sukan, Intan juga turut menceburi bidang lakonan, modeling, nyanyian dan juga seorang streamer.

Ini fakta menarik tentang Intan Serah:

#1 Mula berada dalam arena futsal secara profesional pada tahun 2015 iaitu ketika di bangku sekolah

#2 Pernah memenangi pingat emas di Sukan Belia ASEAN tahun 2015, acara 100 meter lari berpagar dan meraih pingat perak di SUKMA Sarawak 2016.

#3 Diangkat sebagai pemain terbaik kejohanan Liga Premier Futsal Malaysia / Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2019 bagi kategori wanita.

#4 Pada Mei 2022, skuad futsal wanita negara yang diketuainya membawa pulang piala pingat gangsa pada Sukan SEA 2021, di belakang Vietnam (emas) dan Thailand (perak).

#5 Peminat menyifatkan wanita ini sebagai figura serba boleh dan dikurniakan bakat dalam pelbagai bidang kerana turut mempunyai kemampuan bermain permainan popular berkonsepkan 'battle royal', PUBG Mobile.

#6 Selain itu, beliau turut membangunkan laman sosialnya dengan memuat naik video lagu 'cover' popular yang dinyanyikannya semula.

#7Pernah membintangi filem Gol & Gincu Vol 2, selain menyumbangkan suara dalam lagu OST filem tersebut yang berjudul Hari-Hariku, nyanyian bersama Aizat Amdan dan Annabel Michael.

#8 Juga menjadi wajah model bagi produk mekap Avon Simply Pretty.