Penyanyi, pelakon dan pelawak Mark Adam sebelum ini mendedahkan telah ditipu kontraktor yang lari tanpa menyiapkan kediaman yang dibina khas buat ibu dan bapa mentuanya.

Tidak mahu memanjangkan cerita dan mengambil pengajaran daripada pengalaman ditipu ratusan ringgit oleh kontraktor, Mark bercerita mengenai hasratnya membina kediaman tersebut buat mereka.



Kata Mark, jasanya mahu membina kediaman tersebut tidak dapat ditandingi dengan sikap baik yang diberikan ibu dan bapa mentuanya selama dia berkenalan dan menikah bersama isterinya, Norazah Redzuan atau Izan.

“Masa saya datang Malaysia, dua minggu sebelum kahwin saya tidak ada tempat duduk.

“Ayah mentua minta saya duduk di rumahnya sebab saya tak tahu mana nak pergi.

“Lepas kahwin dua tahun saya tidak kerja (kontrak dengan agensi tamat). Saya seorang dan tidak kenal siapa.
“Hari-hari saya bangun lambat pukul 12 atau 1 tengahari sebab tidur lambat fikir apa mahu buat atau kerja tolong isteri saya. Bila bangun saya malu. Tapi ayah mentua saya duduk di depan, dia hanya cakap ‘Mark, pergi makan’.

“Perkara itu terjadi selama dua tahun sehingga saya dapat kerja menyanyi dengan sebuah lokal band.

“Jadi apa yang saya buat ini, langsung tidak dapat mampu membalas jasa mereka.
“Saya mampu saya buat, walaupun mereka tidak minta,” cerita Mark ketika ditemui media pada majlis Rumah Terbuka FYP & Indigital di Damansara, semalam.

Bercakap mengenai perkembangan rumahnya yang sempat terbelengkalai, penyanyi Si Katak itu memaklumkan kini kerja-kerja menyiapkannya dilakukan secara berperingkat dengan bantuan kontraktor baharu.

“Saya dan isteri hanya mahu teruskan bina rumah itu bersama kontraktor yang baru, yang betul-betul ingin menolong kami,” katanya.

Meski ditipu ratusan ribu ringgit sejak peringat awal pembinaan sehingga kontraktor hilang tanpa dapat dikesan, Mark tetap tenang dan muhasabah diri.

Katanya: “Benda macam ini ramai yang kena, saya harap orang lain tidak kena seperti saya. Ini ujian Tuhan bagi, saya terima.

“Hujung-hujung nanti kita masing-masing kena jawab. Saya tak mahu kecoh-kecoh. Saya cuma harap rumah ini dapat segera siap buat ibu dan bapa mentua saya duduk.”