Bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac menyifatkan hasrat terbaru FINAS untuk meraih anugerah Oscar bukan sesuatu yang mustahil.

Namun, menurut Hans, industri filem negara dilihat masih belum bersedia ke arah itu.

Jelasnya, untuk merealisasikan hasrat berkenaan bukan hanya terletak pada kualiti filem semata-mata.

“Kita perlukan lebih daripada itu.

“Bukan setakat filem bagus, kita perlukan bajet yang besar unutk promosi, adakah acara besar, lakukan banyak hubungan PR dengan industri luar.

“Bukan main hantar saja filem hebat,” katanya.

Tambahnya, negara Korea telah berjaya memecahkan ‘tembok’ berkenaan kerana mereka sudah melakukan perubahan 15 tahun lalu.

“Kita boleh lihat macam mana mereka ubah ekonomi bisnes, mereka pasarkan filem ke peringkat antarabangsa.

“Bagaimana mereka ubah ‘storyline’ untuk market luar. Semuanya telah dilakukan 15 tahun lalu,” katanya.

Tambah Hans, biarpun begitu, dia yakin suatu hari nanti akan ada wakil Malaysia yang akan berjaya ke peringkat tertinggi itu.

“Ketika itu kita mesti bersedia. Namun sekarang saya boleh kata yang kita belum ready,” katanya.

Hans berkata demikian pada satu sidang media khas di Bukit Damansara, semalam.

Untuk rekod, Hans yang dilantik menjadi Pengerusi Finas pada 8 April tahun lalu ditamatkan kontrak daripada jawatan itu pada 23 Mei lalu.

Tempat Hans digantikan dengan Zakaria Abd Hamid yang juga aktivis masyarakat.

BACA: “Segala Penantian Sudah Berakhir…”- Hans Issac Bukan Lagi Pengerusi FINAS