Pelakon Que Haidar meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir netizen yang seolah-olah tidak beradab ketika cuba memberikan komen dan pandangan mereka di media sosial.

Lebih menyedihkan, katanya, apabila komen tersebut menyentuh hal mengaitkan fizikal seseorang untuk dijadikan sebagai bahan jenaka.

"Baca komen-komen mereka buat saya mual. Perkara macam inilah yang buat saya rasa jijik.

"Kata-kata manusia yang sibuk menghitung kelainan orang lain menjadikan ia normal, tanpa sedar mereka menunjukkan macam mana didikan ibu bapa mereka.

"Mereka rasa ia biasa menjadikan fizikal sesama kita sebagai hiburan, SICK!!," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Dalam entri berkenaan, Que turut berkongsi beberapa paparan tangkap layar seorang wanita yang menerima komen-komen berbaur hinaan ketika cuba melakukan video solekan.

A post shared by Tengku Iskhan Shah Tg. Haidar (@the_haidars)


Jelas Que lagi, tindakan mereka sedemikian kemungkinan boleh terjadi apabila dipengaruhi dengan apa yang dipertontonkan mereka di televisyen.

Justeru, katanya, sebagai penggiat seni, hal sebegini jugalah yang perlu ditekankan dalam memastikan hal berkaitan body shaming tidak dijadikan sebagai satu kebiasaan dalam memberi hiburan kepada orang ramai.

"Apa-apa yang berbentuk body shaming, rasis memang tak patut kita normalkan. Antara penyumbang untuk mereka rasa perkara ini okay bila mereka tonton perkara ini dikaca televisyen atau rancangan hiburan.

"Jadi tanggungjawab kita besar dengan pengaruh yang kita ada, hidangkanlah pengaruh yang baik-baik.

"Kita sesama kita hanya perlu jadi lebih baik. Kita tak perlu untuk ke universiti untuk belajar lebih beradab," pesannya.

Terdahulu, video solekan seorang wanita cuba melakuakn tutorial solekan menjadi bahan jenaka segelintir netizen apabila cuba mempersendakan bentuk fizikalnya.