Kecoh di media sosial apabila ramai netizen yang mengkritik usaha Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang melaksanakan sanitasi awam.

Kebanyakan mereka menganggap ia satu pembaziran dan tindakan sia-sia,

Namun, menurut Zuraida, orang ramai perlu berhenti meremehkan usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam melaksanakan sanitasi awam sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19.

Menurutnya, tujuan sanitasi awam bermula sejak tahun lalu itu adalah untuk mengurangkan jangkitan awam, terutama di zon merah.

"Saya harap pihak-pihak yang bijak pandai janganlah meremehkan usaha pasukan bomba di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini untuk membantu segala yang termampu dengan kapasiti yang ada.

“Tindakan lebih agresif harus diambil melalui operasi sanitasi awam ini termasuk kawasan perumahan, pasar dan sebagainya.

“Memandangkan Selangor menjadi tempat punca ekonomi negara kita, (operasi) ini adalah satu usaha yang kita harapkan akan memberi kesan untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19 di negeri ini,

“Tak guna kalau kita komen tanpa ada usaha untuk bantu. Kita tidak tahu di mana kuman-kuman Covid-19 berada," katanya.

Tambah Zuraida, bermula Mac tahun lepas hingga hari ini, sebanyak 25,252 operasi sanitasi telah dilaksanakan yang merangkumi 156 zon iaitu 120 zon merah, 14 zon jingga, 15 zon kuning dan tujuh zon hijau mengikut pengkelasan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu Ketua Pengarah JBPM Hamdan Wahid turut mempertahankan sanitasi awam yang dilakukan.

Hamdan berkata operasi sanitasi awam di sesuatu kawasan melibatkan tiga faktor - iaitu nyahcemar, nyahjangkitan dan sanitasi awam.

Dia turut mengecam pihak yang dilaporkan mempersoalkan usaha tersebut, dengan berkata ia tidak memiliki hujah dari sudut sains serta satu pembaziran sumber daya.

"Saya marah kerana kita sudah mengeluarkan banyak belanja untuk ini. Kerajaan mengeluarkan belanja dan ia datang daripada pembayar cukai," katanya lagi.

Difahamkan, sebanyak 25,000 sanitasi awam sudah dilakukan sejak Mac lalu.

Sumber : Sinar Harian & Malaysia Kini