Penyanyi Syamel pada sambutan Aidiladha yang lalu, telah berkongsi foto ketika berbadan gempal di Instagram (IG) dan telah mendapat reaksi para pengikutnya.

Rata-rata komen menggambarkan rasa kagum mereka terhadap perubahan bentuk badan Syamel yang ternyata jauh berbeza berbanding sekarang.

Mereka juga memuji Syamel kerana tidak malu memuat naik foto ketika berbadan gemuk dan mahu menjadikan penyanyi itu sebagai sumber inspirasi.

Syamel ketika dihubungi Gempak memberitahu, foto tersebut dirakam ketika dia berusia dalam lingkungan 11 ke 12 tahun.

“Sebenarnya, saya ternampak foto tersebut ketika sedang membelek album lama…Tak sangka pula bila letak di IG ramai yang kata “idola”, “sumber inspirasi”.

“Masa muat naik foto itu, saya tak ada terfikir pun untuk rasa malu atau rendah diri. Kerana bagi saya, tak ada sebab nak malu atau rendah diri kerana setiap orang ada keistimewaan tersendiri,” katanya.

Ditanya apa tips yang diamalkan sehingga mendapat berat badan ideal, penyanyi Kau Pun Sama itu memberitahu, dia hanya pastikan dirinya melakukan aktiviti setiap hari.

“Saya tidak pernah melakukan diet yang ekstrim, cuma setiap hari saya akan pastikan saya melakukan aktiviti atau mesti bergerak.

“Tak kisahlah aktiviti berjalan ke, atau apa-apa…Asalkan boleh mengeluarkan peluh dan kalau dapat buat aktiviti membakar lemak lebih baik.

“Lagi satu saya ni sejenis, kalau makan lebih…saya eksesais lebih juga la…Mainlah futsal, jogging atau berbasikal. Ini tiga perkara wajib yang saya buat setiap hari.

“Dapatkan lima ribu hingga enam ribu langkah sehari…Itu pun dah sangat-sangat bagus. Untuk ini, saya ada aplikasi dalam telefon bimbit untuk ‘keep track’,” kongsinya.

Terkini, Syamel sedang dalam proses untuk menjalani penggambaran muzik video untuk lagu terbaharunya, bergenre balada pop.