HIBURAN
Kongsi Pengalaman Ketika Alami Serangan Jantung, Zamarul Hisham Terfikir Soal Kematian - “Sempatkah Saya Bertaubat…”
Pelakon Zamarul Hisham berkongsi detik mendebarkan apabila dia mengalami serangan jantung ketika menjalani penggambaran drama di Port Dickson, Negeri Sembilan, pada awal Februari lalu.
Soal kematian
Zamarul berkata, kejadian yang berlaku secara tiba-tiba itu membuatkan dia terfikir mengenai soal kematian dan keinsafan diri.
“Sewaktu serangan itu berlaku, saya rasa seperti hilang segalanya. Saya tertanya-tanya, sempatkah saya bertaubat dan memperbetulkan ibadah saya.
“Bukanlah nak cakap saya ini terlalu jahat, tetapi pelbagai perkara mula bermain di fikiran. Saya juga terbayang anak-anak yang sedang berada di bilik hotel. Saya turut bawa mereka dan bercuti ke Port Dickson.
“Cuma apa yang mampu saya lakukan hanyalah memohon kepada Tuhan agar diberikan peluang untuk melihat anak-anak membesar.
ARTIKEL BERKAITAN: Zamarul Hisyam Masuk ICU Akibat Sesak Nafas
ARTIKEL BERKAITAN: Potong Rambut Gaya Buzz Cutt, Netizen Terpesona Tengok Zamarul Hisham - “Okay, Handsome To The Max”
ARTIKEL BERKAITAN: Pernah Hadap Penyondol, Zamarul Hisham Banyak Fikir Hubungan Dengan Keluarga - "Rezeki Saya Adalah Rumah Tangga"
“Saya juga merayu, ‘janganlah (ambil nyawa) sekarang, jika Kau izinkan.’ Itu sahajalah yang terlintas di fikiran saya ketika itu. Ia satu perasaan yang cukup menakutkan dan sukar untuk digambarkan,” katanya kepada Gempak.
Zamarul berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Blood Brothers: Bara Naga di IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini.
Bergantung pada ubat
Selepas dirawat dan dibenarkan keluar hospital, pelakon berusia 54 tahun ini kini perlu bergantung kepada ubat-ubatan demi memastikan kesihatannya terkawal.
“Sekarang saya perlu makan ubat setiap hari. Selepas dibenarkan keluar hospital saya perlu makan tujuh jenis ubat, tapi sekarang sudah tinggal lima jenis ubat saja.
“Tahap kesihatan saya pula semakin pulih, tetapi jika saya tak kawal pemakanan, saya akan mula rasa tidak selesa pada bahagian jantung. Sekarang ini saya sentiasa bawa ubat ke mana-mana.
“Masa di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tujuh hari, saya memang berjanji pada diri untuk jaga pemakanan dan kesihatan. Tapi bila masuk hari kelima di rumah, semuanya tinggal janji,” katanya.
Prosedur selepas serangan jantung
Dalam kejadian itu, Zamarul berkata, dia menjalani prosedur angiogram dan pemasangan sten di bahagian kanan jantung dan perlu menjalani satu lagi prosedur sten di bahagian kiri jantung.
“Sepatutnya dua sten perlu dipasang, tapi doktor hanya pasang satu dulu kerana enggan mengambil risiko. Lagipun satu sten mengambil masa lebih dua jam.
“Kalau diikutkan saya sudah dijadualkan untuk pembedahan kedua, tapi saya ikhtiar dulu dengan pengambilan ubat tradisional. Harapnya untuk temu janji seterusnya, doktor maklumkan yang saya tak perlu jalani pembedahan itu,” katanya.
Pada 5 Februari lalu, Zamarul dimasukkan ke ICU, Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira jam 2 pagi akibat sesak nafas ketika di lokasi penggambaran.
Kemudiannya, Zamarul dipindahkan ke sebuah pusat perubatan di Sunway untuk rawatan lanjut.
Must-Watch Video