Hiburan
Kongsi Video Solat Ketika Menyertai Cabaran Ironman, Alif Satar Tutup Mulut Netizen!
Penyanyi dan pengacara Alif Satar berjaya menutup mulut wargamaya apabila memuat naik sebuah video menunaikan solat ketika masih bertanding dalam cabaran Ironman Langkawi.
Menerusi laman sosial Instagram, Alif berkongsi video tersebut untuk tatapan umum.
“Kejutan! Taknak anda menunggu lama, terimalah video terakhir. Terima kasih kepada semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan Ironman 2019 saya. Saya berharap ia boleh memberikan inspirasi untuk anda pergi jauh lagi,” tulis Alif sebagai kapsyen.
Menerusi video berdurasi satu minit itu, memperlihatkan Alif sedang mengambil wuduk dengan bantuan pihak sukarelawan Ironman.
Alif kemudian memakai kain pelikat dan menunaikan solat di ruangan yang telah disediakan oleh pihak penganjur.
“Disaat badan kau tiada apa-apa, bila kau solat, kau rasa macam satu benda yang baru. Bila rukuk tu, rasa badan meregang, bila sujud, darah semua di kepala, rasa fresh.
“Bila duduk di antara dua sujud, kaki rasa meregang. Rasa satu benda yang kau buat hari-hari tapi kau buat di saat takde apa-apa, rasa penyelamat untuk kau”, ujar Alif menerusi video tersebut.
Hasil tinjauan Gempak di ruangan komen, rata-rata rakan selebriti dan wargamaya meninggalkan komen kagum dan hormat pada pelantun lagu Sesungguhnya Aku itu.
Video itu sehingga kini telah menerima hampir setengah juta tontonan.
Terdahulu, ada wargamaya yang mempersoalkan perihal solat ketika dia menyertai cabaran Ironman Langkawi pada Oktober lalu.
Alif berjaya menamatkan kesemua cabaran iaitu 3.8 kilometer (km) berenang, 180 km berbasikal dan 42 km berlari dalam masa 15 jam 5 minit.
Must-Watch Video