Selepas meledak dengan single berjudul Rapuh pada 2017, kumpulan Nastia kembali menghangatkan industri muzik dengan lagu terbaru, Tanpamu.

Menariknya tentang lagu Tanpamu ini, ia merupakan karya yang ditulis sepenuhnya oleh kesemua ahli kumpulan Nastia sendiri yang terdiri daripada Man (Vokalis), Rudy (Gitar), Zach (Bass) dan Jenk (Drum).

Menurut vokalisnya Man, konsep melodrama dalam penulisan Nastia masih dikekalkan, namun perjalanan muzikal Nastia kali ini turut diwarnai dengan elemen elektronik untuk penghayatan lebih dinamik serta teknikal.

"Tanpamu merupakan sebuah lagu yang mengisahkan tentang semangat baru yang hadir selepas individu tertentu menghadapi hari-hari gelap mereka.

"Muzik video ini menampilkan kebolehan kesemua ahli kumpulan Nastia sebagai penggerak utama kepada jalan cerita Tanpamu," katanya.

Jelas Man, muzik video Tanpamu diarahkan oleh Elfie Nazari dan bakal membawa konsep Sains Fiksyen.

"Namun begitu, ia masih mengekalkan ciri-ciri norma manusia supaya peminat masih boleh menghayati dan berhibur dengan karya terbaru ini," katanya.

Difahamkan, single Tanpamu juga akan dimuatkan dalam album kedua Nastia yang berjudul Teater yang dijangka dikeluarkan pada tahun ini.