HIBURAN
Konsert 4G’s Tertangguh? Akim, Hazama, Black & Tomok ‘Balas Dendam’ Dengan Suara Licik!
Penangguhan konsert 4G’s yang sepatutnya berlangsung pada 17 dan 18 April lalu di Istana Budaya tidak mematahkan semangat empat penyanyi hebat Akim Ahmad, Hazama, Black Hanifah dan Tomok.
Mereka sebaliknya bangkit tampil dengan lagu baru berjudul Suara Licik.
Difahamkan, mengikut perancangan awal keempat-empat penyanyi hebat itu sepatutnya memperkenalkan lagu berkenaan pada konsert itu.
Namun, bagi memenuhi permintaan peminat, lagu hasil ciptaan Taja dan lirik oleh Ana Raffali itu sudah siap dirakam dan bakal dilancarkan.
Menurut Akim yang juga merupakan vokalis kumpulan Akim & The Majistret, lagu berkenaan boleh dikatakan sangat unik.

“Lagu ini dihasilkan oleh Taja (Meet Uncle Hussain) dan lirik pula oleh Ana Raffali.
“Melodi dan lirik lagu ini sangat bagus. Saya amat gembira dapat menyanyi dan merakam lagu ini bersama tiga rakan lain.
“Kebetulan ketika itu kami nak ada konsert, jadi perlukan satu lagu baru yang dinyanyikan bersama. Jadi karya ini sangat menarik untuk kami persembahkan kepada peminat,” katanya.
Jelasnya, dia akui merakamkan sebuah lagu bersama Hazama, Black dan Tomok memberi pengalaman luar biasa.
“Masing-masing ada karakter dan keunikan suara tersendiri. Mereka semua penyanyi yang bagus.
“Apabila bekerja dengan kawan-kawan, kita tak ‘stress’ kerana masing-masing berikan kerjasama dan saling menyokong antara satu sama lain.
“Malah, kami cuba memberikan yang terbaik dalam sesi rakaman,” katanya.
Sementara itu, menurut Black pula dia mengakui gembira dapat bekerjasama dengan Akim, Tomok dan Hazama.
“Perasaan sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan sahabat yang sama-sama suatu ketika dahulu membina nama dalam industri.
“Komitmen dan semangat yang diberikan mereka bertiga menunjukkan yang mereka juga berasa tidak sabar untuk lagu ini diputarkan. Malah, tidak sabar nak dipersembahkan secara langsung pada konsert.
“Alhamdulillah, kami sudah pun mendapat tarikh baru konsert yang tertunda ini. Insya Allah, kalau tiada aral melintang pada bulan depan 11 dan 12 Disember akan berlangsung konsert 4G’s,” katanya.
Untuk makluman, lagu Suara Licik telah dilancarkan di semua platform digital muzik dan boleh mula distrim bermula 27 Disember.
Walaubagaimanapun, video lirik lagu Suara Licik telah pun dimuat naik di YouTube Nova Music.
Must-Watch Video