Hiburan

Konsert Spider Keluar Sarang ‘Pecah Habis’, Spider Juara Satu & Popular Di Hati Peminat

gempak
Maliah Surip
23/06/2024
15:55 MYT
Sponsor Banner
Konsert Spider Keluar Sarang ‘Pecah Habis’, Spider Juara Satu & Popular Di Hati Peminat
Jika Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq dan Allahyarham Tony Iskandar masih punya hayat, mereka akan menjadi individu yang akan turut merayakan kejayaan luar biasa Spider Keluar Sarang Live in Kuala Lumpur 2024 di Zepp KL pada 22 Jun 2024.
Dua figura tersebut punya jasa besar terhadap Spider ; yang boleh dikatakan separuh kehidupan dewasa sebelum menutup usia, Spider adalah ruang melepas semua kreativiti mereka daripada penghasilan lirik sehingga teknikal muzik.
Loloq, sang penulis kata sakti yang sangat bijaksana adalah arkitek seni pada kebanyakan karya yang telah meledakkan nama Spider termasuk Aladin dan Kasih Latifah.
Dijemput Ilahi ke negeri abadi pada 2008, Loloq sudah bersama Spider sejak debut album pada tahun 1999 dan Ngam Ho yang juga bagai menjadi tembang wajib peminat kugiran ini dengan lirik ringkas tapi sinis adalah hasil idea figura yang disegani ini.
Tony, sang pemain bass yang sempat meninggalkan Spider sebelum berpulang ke Rahmatullah pada 2021 lalu juga adalah tulang belakang utama kugiran yang berasal daripada Johor Bahru ini sehingga sebuah lagu dengan judul Tony Gila Lucy didedikasikan kepadanya.
Dan ketiadaan Nafie (gitaris) kerana masalah kesihatan juga dirasai. Nafie peranannya bukan sekadar memetik gitar tetapi banyak mencurah idea bersama Spider menggarap karya-karya untuk diperdengarkan.
“Ada rasa ralat, keadaan membuat kita tidak dapat bersama,” ujar sang vokalis, Tam, ringkas menjawab persoalan bagaimana beliau melihat kejayaan konsert yang diaadakan ini berlangsung tanpa Loloq dan Tony.
“Tapi saya fikir ini adalah momen yang tepat (mengadakan konsert). Melihat ramai peminat Spider dengan sambutan di luar jangka membuat kami percaya sesuatu yang baik akan berlaku pada masa yang ditentukan,” kata Tam lagi kepada media.
Benar, Spider Keluar Sarang Live in Kuala Lumpur 2024 yang dibawakan IFIX Entertainment berlangsung bukan sahaja di luar jangkaan Spider tetapi para peminat.
Setiap pintu masuk ke ruang Zepp KL penuh dengan peminat — membeludak ; meminjam bahasa Indonesia dengan erti melebihi jumlah yang normal. Perlu bersesak untuk masuk lalu meloloskan diri sekurangnya punya ruang seinci untuk bernafas.
Ini adalah pemandangan tak biasa sambutan yang diberikan buat artis lokal tapi Spider seperti benar-benar keluar sarang, semua peminat tegar keluar sarang dan berkerumun di satu titik untuk menyokong kugiran yang pernah menjadi dan masih menemani hidup mereka menerusi lagu-lagu yang menusuk jiwa serta membahagiakan.

Konsert Jelajah, Single Keluar Sarang

Suasananya seperti pulang ke zaman hadir ke gig-gig kecil lewat tahun 90-an dahulu. Sesak tidak ada ampun tapi tetap mahu ‘bergasak’ dan menjerit sekuat hati saat Tam dengan vokal ‘satu-satunya’ itu melantunkan banyak hit Spider yang dipetik daripada hampir keenam-enam album studio mereka.
Saat Tam mengajak lebih 2,400 peminat melompat mengikut irama Spider yang dibalut sensasi pop, rock dan ska, jujurnya tidak ada ruang untuk bergerak kecuali tangan melambai di awangan. Namun itu langsung tidak mematikan rasa dan membuat peminat berganjak. Semua menyanyi dengan suka hati sekaligus melepas rindu melihat Spider membuat persembahan secara langsung.
Apalagi momentum persembahan Spider agak kemas dan sedap didengar. Tanpa perhiasan pentas extravaganza, Spider menyihir peminat lewat vokal berkesan Tam, permainan bass (Is) dan gitar serta ketukan dram Aie yang padu dengan kehadiran pemain instrumen seperti trompet yang menghidupkan romansa ska.
Cinta Dewa Dewi, Rela Ku Pujuk, Kekasihku, Lengit, Telinga Ke Tulang, Nazraku, Katalis, Laukku Cukup Masin dan Mungkinkah Terjadi adalah antara 21 lagu yang dipersembahkan pada konsert tersebut.
Dengan usia 24 tahun, terlalu lama tanpa konsert tentu sahaja 21 buah lagu yang dipersembahkan tidak cukup. Maka tidak hairan apabila konsert usai, peminat tidak meninggalkan tapak konsert.
Maka tidak hairan peminat terus meminta konsert diadakan secara siri jelajah.
“Ada, perancangan untuk jelajah ada dalam perancangan,” janji Tam.
Bersama janji mengadakan konsert jelajah, Tam juga memberitahu Spider dalam menghasilkan material baharu dengan single Keluar Sarang sebagai buah tangan pada saat ini.
Dan saat ditanya setelah melihat pemandangan indah dengan lautan peminat menyokong, adakah Spider rasa mereka popular?
Spider ketawa mengekeh. Kata mereka soalan itu jahat, malah Tam mengaku tidak mahu angkat bakul puji diri sendiri.
“Mungkin Spider popular kerana lagu-lagu kami. Lagu-lagu kami yang popular,” kata Tam.
Dengan kejayaan Spider Keluar Sarang Live in Kuala Lumpur 2024, kugiran ini membuktikan tanpa gimik merapu dan promosi terdesak untuk memberitahu ‘kami ada konsert’, Spider membuktikan sakti mereka.
Sakti mereka terletak kepada karya-karya berkualiti dan setiap satunya membekas kenangan tersendiri buat pendengar juga peminat.
Bersyukurlah kerana Spider yang tentu sahaja ‘diluluskan’ cap mohor oleh sang sifu Datuk M Nasir dengan cetakan tersendiri ini wujud di Malaysia kerana sekurangnya ada karya dan rujukan ‘tidak lembik’ untuk dibanggakan.

BERITA TRENDING: Tam Spider Ralat Arwah Maya Matahari Tak Sempat Lancar Single Terakhir Sebelum Meninggal Dunia

BERITA TRENDING: Tam Spider Persoal Kenapa Kita Masih Sokong, Sensasikan Golongan Yang Tak Boleh Menyanyi

BERITA TRENDING: Rakam Nadi Cinta Kita Demi Allahyarham Adnan Abu Hassan & Tony Spider, Hasnol: "Saya Menulis Tentang Kisah Arwah"

BERITA TRENDING: “Tersimpan Dalam Kenangan, Hanya Tersenyum…” – Lirik Lagu Tam Untuk Tony, Buat Ramai Tersentuh

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024