Selebriti terkenal Neelofa, 32, menafikan dakwaan penyanyi rap Caprice yang mengaitkan nama ibunya, Datin Noor Kartini Noor Mohamed susulan misi kemanusiaan membantu rakyat Gaza di Palestin.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor memohon agar tidak dikaitkan dengan perkara tidak benar.

"Ibu saya tak ada kena mengena dengan cerita Caprice dan ustaz. Saya minta jangan kaitkan benda yang tak berasas," tulisnya di ruangan komen ketika siaran langsung di Instagram Ustaz Ebit Lew, sebentar tadi.

Tambah usahawan terkenal ini, dia akan menghubungi Caprice bagi mendapatkan penjelasan selanjutnya.

"Saya akan hubungi Caprice kenapa kaitkan nama orang yang tak terlibat. This is not right," tulisnya lagi.

Perasan dengan respon tersebut, Ustaz Ebit Lew memohon maaf kerana dia perlu menjawab tuduhan Caprice yang mendakwa mereka berempat iaitu Neelofa dan suami, pendakwah bebas Haris akan bersama ke Palestin.

Ustaz Ebit Lew turut menuntut pencerahan daripada Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al Nurin.

"Saya sebut tadi apa yang Caprice bagitau. Jadi saya minta maaf. Saya menjawab pertuduhan itu.

"Kena tanya Caprice mana sumber dia dan Nadir dapat kena pergi berempat? Doakan la moga dia selamat dan sihat.

"Saya minta maaf.. dia memang kaitkan nama awak," kata Ustaz Ebit Lew.

Semalam, Ustaz Ebit Lew membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur petang semalam berhubung beberapa dakwaan yang dibuat terhadap beliau oleh beberapa individu kebelakangan ini.

Ustaz Ebit Lew memaklumkan beliau difitnah dalam isu yang tular kebelakangan ini dan akan membuat penjelasan lanjut dalam satu sidang media.

BACA: Bersedia Saman Malu Individu Yang Mengaibkannya, Ustaz Ebit Lew: "Saya Sangkal, Semua Fitnah Semata Mata"