Hiburan

Kru Filem Legenda Sarawak Janet-Sumpahan Terlarang Kena Gangguan Misteri

gempak
Amri Hassan
25/08/2020
04:56 MYT
Sponsor Banner
Kru Filem Legenda Sarawak Janet-Sumpahan Terlarang Kena Gangguan Misteri
Kru produksi filem legenda Sarawak, Janet-Sumpahan Terlarang mengalami beberapa gangguan misteri sepanjang penggambaran selama 2 minggu.
Kata penerbitnya, Faizatul Hasanah Hussain atau lebih dikenali sebagai Hana, mereka bagaimanapun meneruskan penggambaran hingga selesai.
"Sepanjang 15 hari proses penggambaran berlangsung, pelakon dan kru turut mengalami beberapa gangguan aneh dan misteri namun mereka tidak patah semangat untuk memastikan filem ini disiapkan.
"Sepatutnya penggambaran filem ini dilakukan di Sarawak namun disebabkan pandemik, ia terpaksa ubah lokasi ke Janda Baik, Pahang dan Kuala Lumpur.
"Beberapa jalan cerita juga terpaksa diubah agar bersesuaian dengan keadaan semasa," katanya.
Bercerita mengenai filem tersebut pula, Hana yakin naskhah yang diambil daripada sebuah kisah legenda urban Sarawak itu cukup popular dalam kalangan penduduk di sana sekitar tahun 60-an dan 70-an dahulu.
Diterbitkan oleh Kaya Kenyalang Sdn. Bhd. mengisahkan seorang gadis bernama Janet yang dianiayai oleh insan yang dicintainya sehingga menghantui kehidupan mereka satu persatu.
Pelbagai aspek utama yang diterapkan antaranya dendam, seram, sejarah, persahabatan, cinta dan kekeluargaan menerusi karya yang ditulis oleh Nazri M. Annuar.
Diarahkan oleh Mohd Azhar Mohd Khalid atau lebih mesra dipanggil Apache, antara pelakon yang terlibat termasuklah Safar Ghafar, Bulan Terry, Aliff Hadi, Ifa Raziah, Esma Daniel dan Ropie Cecupak.
Janet- Sumpahan Terlarang dijangka ditayangkan di seluruh pawagam tanah air, Astro First dan Netflix pada tahun hadapan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024