Hiburan
'Kuasa Cintamu' Lagu Siti Untuk Aafiyah
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedikasikan lagu terbaharu Kuasa Cintamu khusus buat anak tunggalnya, Siti Aafiyah.
Jelas Siti, segala perasaan, emosi dan usahanya untuk mendapatkan zuriat pertamanya itu dicurahkan sepenuhnya dalam lagu tersebut.
"Ada sentuhan peribadi saya dalam Kuasa Cintamu. Liriknya ditulis khas untuk Aafiyah.
"Ia berkisahkan bagaimana penantian saya sebelum ni untuk mendapatkan anak.
"Saya luahkan segala emosi dalam lirik. Ia yang menjelaskan bagaimana saya bersyukur apabila doa untuk menimang anak dimakbulkan Allah," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album ManifestaSITI2020 di Khan's Restaurant, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lagu Kuasa Cintamu itu mendapat sentuhan muzik dari komposer dan penyanyi popular Indonesia, Melly Goeslow dan lirik olehnya sendiri.
Kata Siti, dia hanya mengambil masa sehari untuk menulis lirik lagu berkenaan.
"Tak lah lama sangat, cuma sehari untuk saya siapkan lagu ini," tambahnya.
Album ManifestaSITI2020 mengandungi 11 buah lagu pelbagai genre yang membariskan pelbagai komposer dan penulis lirik tersohor.
Antara lagu yang dimuatkan dalam album studio ke-18 Siti itu ialah Aku Bidadari Syurgamu, Kasihku Selamanya, 7 Nasihat, Anta Permana, Terang dan Basyirah.
Must-Watch Video