Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Kucing Disangka Hilang, Rupa-Rupanya Dibaham Harimau Akar!

Gempak
09/08/2024 00:55 MYT
Disangka kucing kesayangan dicuri orang, seorang wanita terkejut apabila haiwan peliharaannya itu dibaham harimau akar dalam kejadian di Kampung Tersusun Salak, Salak Baru, pada Isnin.

Tiga Kucing Hilang

Pemiliknya, Nurul Balqis Musa, 30, berkata, kejadian itu disedari selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selepas kucing betina diberi nama Petra yang berusia empat tahun itu hilang selama dua hari.

"Jiran ada beritahu tiga kucingnya turut hilang menyebabkan kami terdetik untuk tengok CCTV kerana bimbang diambil orang.

"Melihat rakaman itu, barulah teringat ketika kejadian ibu ada terdengar Petra jerit kuat sekitar jam 3 pagi. Apabila buka pintu belakang Petra sudah hilang," katanya.

Menurutnya, mereka tidak sangka Petra yang mempunyai berat sekitar lapan kilogram (kg) mampu 'diangkut' ke atas pagar sebelum diheret ke dalam hutan.

"Sehingga kini, ibu tidak sanggup melihat rakaman itu kerana terlampau sedih. Walaupun kami pelihara lapan kucing lain, Petra sangat istimewa.

"Kami pelihara sejak kecil dan Petra kucing yang manja malah tidur sekali. Kalau saya memandu, Petra akan duduk di riba menemani sepanjang perjalanan ke Ipoh atau Sungai Siput," katanya.

Nurul Balqis berkata, kehadiran haiwan pemangsa itu menyebabkan penduduk berhampiran lebih berwaspada.

"Lapan kucing peliharaan kami kini ditempatkan dalam rumah, tidak lagi dibiarkan bermain di halaman kerana bimbang dibaham lagi.

"Video itu saya muat naik di Facebook sebagai peringatan kepada ibu bapa agar dapat menjaga keselamatan anak-anak mereka dan tidak lagi bermain di anak sungai kawasan tersebut," katanya.

Difahamkan harimau akar atau harimau dahan dewasa yang berat dianggarkan lebih 15 kg itu dari Hutan Simpan Kledang Saiong berhampiran.

BERITA TRENDING:Sudahlah Terpaksa Usung Jenazah Lalu Jambatan Uzur, Penduduk Juga Terpaksa ...

BERITA TRENDING:Gara-Gara Beri Anjing Makan Berlebihan Sehingga Mati, Wanita Dihukum Penjara Dua Bulan

BERITA TRENDING: Wanita Pilu Lihat Kucingnya ‘Terseksa’ Ditembak Pengawal Keselamatan - “Kan Boleh Halau Pakai Air…”

BERITA TRENDING: Duduk Dalam Keadaan Pelik, Aksi Lucu Kucing Ini Buat Netizen Tak Kering Gusi - “Dia Tengah Buat Pilates Tu”

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan tersebut.

"Kakitangan Perhilitan sudah pergi ke lokasi kejadian untuk siasatan dan bercadang untuk memasang perangkap di kawasan tersebut.

"Kita juga menasihatkan penduduk supaya mengurung semua binatang ternakan atau peliharaan lain, jika ada," katanya.

Sumber: Sinar Harian

#Berita #Kucing #Harimau #Baham