Nama penyanyi popular Faizal Tahir trending di laman sosial Twitter selepas tegurannya terhadap #LathiChallenge mengundang pelbagai reaksi daripada wargamaya.

Semalam menerusi satu posting di Twitter, pelantun lagu Gemuruh itu menegur seseorang yang beragama Islam haruslah memikir dahulu sama ada apa yang dilakukan itu akan dibenarkan Nabi Muhammad atau tidak.

BACA: "Adakah Menyumbang Bekalan Bila Dah Mati Nanti?" - Faizal Tahir Kritik #LathiChallenge

Teguran itu nampaknya mengundang pelbagai reaksi terutamanya kritikan terhadap penyanyi itu kerana merasakan #LathiChallenge itu tujuan asalnya diadakan untuk mengangkat kreativiti, kebudayaan dam karya seni.

Malah, ada yang turut mencari kesalahan lampau Faizal serta mengungkit kulit album Anatomi yang pernah mencetuskan kontroversi kerana dikatakan berunsurkan iluminati dan murtad.

Namun, dalam kecaman yang diterima, ramai juga yang menyokong tindakan Faizal dalam memberikan teguran dan saling mengingatkan.

“Saya rasa orang patut melihat teguran Faizal mengikut perspektifnya sebagai seorang muslim yang lebih baik berbanding dirinya sebelum ini. Seni memang seni tetapi berpada-padalah dalam apa jua yang kita buat, selagi tidak melanggar syariah,” luah seorang wargamaya.

“Dia hari ni tak semestinya sama dengan dia yang semalam, apa kata kita terima je nasihat dia daripada kita kecam masa lampau dia. Bagi saya sendiri bila melihat video Lathi Challenge, saya nampak seni,” komen seorang wargamaya.

“Mencari salah dan aib orang hanya untuk kepuasan diri sendiri adalah petanda hati rosak - Tok Guru Nik Aziz,” balas seorang wargamaya.



“Saya tak tau lah kalau sekarang dah tak boleh nak tegur orang. Bila ditegur ada yang sibuk gali kehidupan lampau pastu tunjuk kat kita benda lepas yang kita pernah buat padahal kita dah move on dah pun dan cuba untuk berubah,” kata seorang wargamaya.

“Berbahagialah anda mengungkit kembali kisah lalu seseorang. Kalau kisah lama la yang kau nilai atas orang yang memberi nasihat, tiada guna la Syd Umar r.a masuk Islam,” komen seorang wargamaya.



“Punyalah nak cari salah orang yang menegur benda betul, sampai dikoreknya kisah lama. Kadang orang menegur sebab dia dah pernah buat silap. Ambil sebagai nasihat, lembutkan hati ya,” tegur seorang wargamaya.

Tular sekitar minggu lalu, #LathiChallenge memerlukan seseorang menunjukkan teknik tatarias wajah yang cantik sebelum berubah menjadi watak yang menakutkan.