Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Kuman Dah Menyerang Otak" - Menderita Batuk Kering, Pelakon Cilik Izuan Fitri Belum Sedarkan Diri

Amri Hassan
03/08/2021 12:19 MYT
Pelakon yang popular menerusi filem Butak dan Crossroads: One Two Jaga, Mohd Izuan Fitri dikhabarkan kini sedang terlantar sakit akibat tuberkulosis atau tibi.

Menerusi foto yang tular di Twitter pada Selasa, Izuan, 19, dimaklumkan sedang menjalani rawatan dan pihak keluarga masih berbincang untuk prosedur pembedahan.

Dalam ciapan yang tular daripada akaun @zhafvlog, kuman tibi dalam badan Izuan telah menyerang organ dalaman termasuk paru-paru dan otak.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

"Kuman tibi banyak dalam badan si adik, buang air besar berdarah sebab tibi dalam usus, paru-paru sebelah kiri ada tibi buat sarang, kat otak ada tibi.

"Tadi dia buat ct scan untuk bagi kat pakar otak, sekarang tengah bincang sama ada pembedahan boleh tolong si adik atau tidak.

"Kalau pakar otak kata pembedahan tak boleh tolong, doktor akan teruskan ubat tibi saja sampai adik sedar," maklum individu berkenaan dikenali sebagai Adik Ainn memetik kata-kata ibu Izuan, Nor Abdul Rani.



Sementara itu, lapor Harian Metro, kata abang kembar Izuan, Izuan Fikri, adiknya telah dikejarkan ke Hospital Selayang pada 31 Julai lalu selepas diserang sawan.

"Setakat ini, adik saya Izuan belum sedarkan diri. Mengikut pemeriksaan doktor memaklumkan penyakit tibi dihidapinya sekitar dua tahun lalu sudah menyerang bahagian otaknya.

"Adik saya memang tak tahu dia ada menghidap penyakit tibi pun. Sebelum ini, dia memang kurang sihat apabila selalu batuk dan demam, tapi dia tidak mahu ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan. Jadi, kami ingatkan hanya sakit biasa.

"Cuma, pada 31 Julai lalu ketika saya dan kakak pergi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, Izuan hubungi saya memberitahu tangan dan kakinya kebas serta tidak boleh bergerak untuk ke tandas," katanya.

Izuan pernah muncul dalam filem Butak arahan Sabri Yunus yang turut dibarisi Fimie Don, Khatijah Tan dan Kazar Saisi.

Sepanjang bergelar artis, Izuan pernah meraih trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin 2015 dan Pelakon Kanak-kanak TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2016.

Sumber: Harian Metro, Zhafvlog
#pelakon #Viral #Sakit #hospital #Kuman #Batuk Kering #Izuan Fitri #Tibi
;