Kumpulan Jakel menerusi Jakel Tekstil menghulurkan sumbangan berjumlah RM300,000 dan jenama tudung Ariani menambah RM200,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM500,000 kepada Tabung Viva Palestina, Malaysia.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, inisiatif tersebut merupakan pernyataan kebersamaan dan tanda solidariti untuk saudara di Gaza, Palestin.

"Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan sokongan berterusan kami kepada usaha kemanusiaan di Palestin tetapi juga berfungsi sebagai peringatan mendalam bahawa komitmen Malaysia terhadap perjuangan Palestin tetap kukuh dan tidak berbelah bagi," katanya.




Sumbangan tersebut telah disampaikan kepada Pengasas Viva Palestina Malaysia, Puan Sri Norma Hakim.

Dalam suatu usaha kolektif melalui Kerajaan Malaysia, Kumpulan Jakel turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM3 juta kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan oleh Kementerian Luar.

Perang Palestin-Israel, yang telah menyebabkan keadaan semakin mendesak dengan serangan Israel ke atas kemudahan awam seperti hospital, sekolah, masjid, dan gereja, melanggar undang-undang peperangan antarabangsa.

Banyak nyawa telah terkorban syahid dan cedera, dan dengan hospital yang dibom, bantuan perubatan juga menjadi sukar.

Dalam menghadapi tragedi tersebut, situasi di Gaza telah mengundang perhatian antarabangsa.

Banyak negara telah tampil untuk membantu rakyat Palestin yang menghadapi kesukaran bekalan asas seperti air, elektrik, makanan, dan perubatan.