Hiburan
Kurangkan Penularan, Kementerian Kesihatan Gesa Semua Acara Keramaian & Perhimpunan Ditunda
Kementerian Kesihatan memohon agar semua acara keramaian dan perhimpunan perlu ditunda untuk mengurangkan penularan Covid-19.
Memetik laporan The Star, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mereka yang mengalami gejala jangkitan pernafasan dinasihatkan supaya tidak menghadiri program yang melibatkan tempat yang ramai, termasuk aktiviti keagamaan.
"Mereka yang mempunyai simptom dinasihatkan untuk mengamalkan jarak berdiri 1 meter jauh dari individu lain,” katanya ketika ditanya nasihat kementerian selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penyakit itu sebagai pandemik.
Dr Hisham menerusi akaun Twitternya turut menyeru orang ramai yang menghadiri acara keramaian dan perhimpunan untuk bekerjasama dengan pegawai kesihatan untuk memastikan Covid-19 tidak terus tersebar.
Beliau menggesa kepada mereka yang terlibat agar segera menghubungi talian hotline ‘Crisis Preparedness and Response Centre’ (CPRC) di talian 03-8881 0200 atau jabatan kesihatan daerah masing-masing secepat mungkin.
Beliau turut menasihati orang ramai untuk tidak mengembara ke luar negara terutamanya ke negara yang terkesan dengan Covid-19.
Malah, dengan musim cuti sekolah yang bakal tiba minggu depan, Dr Hisham turut meminta rakyat Malaysia yang mempunyai gejala jangkitan pernafasan tidak perlu melawat tempat lain di Malaysia.
Sementara itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan dan kebersihan yang baik.
Must-Watch Video