Hiburan
Kutuklah...Saya Tidak Kisah Pun - Syamsul Yusof
Pelakon dan pengarah filem Syamsul Yusof mengakui tidak mengambil peduli mengenai kritikan yang dilemparkan kepada dirinya melalui media sosial.
Syamsul, 32, berkata, dia sudah lali dengan kata-kata orang ramai mengenai dirinya dan mengambil perkara itu sebagai pembakar semangat.
"Saya anggap bahawa mereka yang kutuk-kutuk saya di laman sosial itu ada masalah dengan hidup mereka sebenarnya.
"Saya ambik perkara ini sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya dan sebenarnya saya sudah lali dengan kritikan yang diberikan oleh orang ramai.
"Kerana sebagai seorang manusia yang biasa, saya tidak mungkin akan dapat memuaskan semua hati orang di luar sana.
"Sudahlah diri ini dikutuk dan ada juga yang tagged nama saya pula di laman sosial itu sebenarnya yang membuatkan saya tidak faham," katanya.
Syamsul berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media dan cabutan giliran persembahan untuk Anugerah Juara Lagu 31 yang diadakan di Wisma Bentley, baru-baru ini.
Pelakon filem Desolasi ini berkata demikian ketika meluahkan perasaannya di laman twitter mengenai segelintir pihak yang masih tidak senang dengan kerjayanya.
Dalam perkembangan berlainan, Syamsul berkata, dia kini dalam perancangan untuk mengeluarkan single secara solo pada tahun depan tetapi masih mencari genre yang hendak dibawa.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Must-Watch Video