"Lagi Berat, Lagi Saya Suka" - Nad Zainal

Kamaruddin Razal
November 1, 2018 09:37 MYT
Pelakon Nad Zainal mengakui gemar menjayakan karakter berat dalam sesebuah filem atau drama.
Menurut Nad, pada awal pembabitannya sebagai seorang aktres, dia sering diberikan watak ringan.
"Ketika baru mula berlakon, saya sering membawakan watak ringan, seperti karakter gadis riang dalam drama bersiri Kampung Girl dan sebagainya.
"Namun begitu, lama kelamaan, penerbit dan pengarah nampak yang saya boleh menjayakan watak berbeza.
"Saya juga suka menggalas tanggungjawab untuk membawakan watak berat... Lagi berat, lagi saya suka kerana ia merupakan salah satu cabaran untuk saya sebagai seorang pelakon," kata Nad.
Nad ditemui di sidang media Anugerah Skrin 2018 di Internation Art Gallery at Alya, Bukit Kiara baru-baru ini.
Tambah ibu kepada seorang cahaya mata ini, dia juga mahu membawakan watak yang belum pernah dijayakan.
"Jika diberikan kesempatan, saya teringin membawakan watak aksi atau pun mempunyai karakter yang lebih mencabar berbanding yang pernah saya bawakan sebelum ini," katanya lagi.
Telefilem lakonan Nad, Fatonah Azali tersenarai sebagai calon dalam kategori Drama Terbaik untuk Anugerah Skrin 2018.
Anugerah Skrin 2018 bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, 2 November ini pada jam 9.00 malam dan disiarkan di TV3.
#pelakon #Nad Zainal #Pelakon