Selepas hadir dengan single Kekal sekitar Mac lalu, penyanyi kelahiran Brunei, Syafiq Abdillah muncul dengan buah tangan baharu berjudul Suara Hidup.

Dicipta oleh Navigator dan Pique, menurut peserta Big Stage musim keempat itu, lagu tersebut membawakan aura baharu dan berbeza dengan single yang pernah diluncurkan sebelum ini.

“Suara Hidup adalah lagu yang sangat berbeza daripada Kekal. Mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini adalah betapa pentingnya seseorang itu dalam hidup kita. Lagu ini juga membawa vibe yang baharu kerana ia diinspirasikan daripada lagu balada Korea dan runut bunyi K-Drama.

“Sebenarnya, lagu ini mula dicipta pada 2020 dan pertama kali mendengar demo lagu ini pada tahun itu juga. Pada masa itu hanya bahagian korus yang sudah ditulis dan tahun lalu barulah Pique menyiapkan lagu ini bersama Navigator,” katanya.

Berkongsi lanjut, Syafiq berkata, masa yang diambil untuk merakamkan Suara Hidup adalah agak panjang, memandangkan banyak emosi yang perlu disuntik ke dalam single terbaharunya itu.

“Bagi saya, Suara Hidup mengambil masa yang begitu panjang untuk dirakamkan kerana agak sukar untuk saya menyampaikan lagu ini dengan penuh emosi.

“Namun, saya berasa sangat beruntung kerana proses rakaman berjalan dengan lancar, atas bantuan banni Basyishar dan juga Mike Chan.

Mengenai klip video Suara Hidup pula, menurut Syafiq, jalan ceritanya adalah kesinambungan daripada lagu Kekal.

“Klip video Suara hidup adalah kesinambungan daripada klip video Kekal yang menceritakan perjalanan kisah cinta pasangan yang dibawakan oleh Hakim Parker dan Sara Mack Lubis.

“Pada klip video Kekal, pengakhirannya tergantung apabila watak Hakim melintasi Sara seperti tidak pernah berkenalan sama sekali. Jadi, menerusi klip video Suara Hidup ini, jawapan terhadap pertanyaan peminat akan terjawab,” katanya lagi.

Suara Hidup merupakan projek usaha sama antara Universal Music Malaysia dan 1212. Suara Hidup boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer dan YouTube Music, sementara klip video boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

BACA: Syafiq Big Stage Bergabung Dengan 4 Komposer Untuk Muncul Dengan ‘Kekal’​