Hiburan
"Lagu Suci Dalam Debu Kenangan Manis Buat Saya" - Lim Guan Eng Turut Bersedih Dengan Pemergian Allahyarham Saleem
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (LGE) turut bersedih dengan pemergian vokalis kumpulan Iklim, Allahyarham Saleem.
Saleem atau nama sebenarnya AM Salim Abdul Majeed meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras kira-kira jam 6.30 pagi semalam.
Menerusi sebuah status yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya, LGE menyampaikan salam takziah kepada keluarga penyanyi itu.
"Saya amat sedih dengan pemergian penyanyi terkenal Saleem hari ini.
"Lagu Allahyarham bersama Iklim, Suci Dalam Debu, merupakan kenangan manis buat saya pada awal 1990-an.
"Ketika berjuang sebagai pembangkang, lagu-lagu Saleem menemani jiwa saya.
"Malah, beberapa lagu rock Allahyarham juga menawan hati. Semoga Allahyarham tenang abadi di sana.
"Salam takziah buat keluarga Saleem," tulis LGE.
Di ruangan komen, netizen turut sama bersedih dan menganggap pemergian Saleem sebagai satu kehilangan besar dalam industri muzik tanah air.
Penyanyi yang berasal dari Setiu, Terengganu ini menerima rawatan di PPUKM ekoran terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 September lalu.
Foto: The Star & FMT
Must-Watch Video