Mahu memberi peluang dan sokongan kepada bakat baharu industri muzik tempatan antara faktor utama mereka menjadi pilihan untuk beraksi dalam konsert yang dianjurkan.

Perkara itu dinyatakan oleh orang kuat syarikat pengeluar LPG, AC Gas yang menjadi penaja konsert SuriaVolusi pada bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AC Gas Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman berkata, mereka membuat permintaan itu kepada stesen radio Suria FM kerana faham susah payahnya bagi orang baharu memulakan langkah sebelum berjaya.

"Kami pernah melalui fasa mencabar ketika masih baharu memulukan perniagaan sekitar 2016 termasuk berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Saya tahu, sebagai orang baharu juga ramai yang belum percaya dengan kebolehan kita dan tidak tahu apa yang kita mampu lakukan.

"Seperti AC Gas juga ketika mahu memulakan tapak ada yang sangsi dengan kami namun setelah diberikan kepercayaan kami semakin dikenali dan menjadi pilihan pengguna.

"Alhamdulillah kami sudah mempunyai 65 wakil sah berdaftar di seluruh Malaysia dan menggeluarkan 90,000 tong gas baharu sebulan melalui kilang kami di Meru," katanya dalam sidang media sempena konsert SuriaVolusi anjuran Suria FM baru-baru ini.

Pengurus Besar Suria FM DJ Lin turut menyambut baik permintaan AC Gas itu dan mengakui stesen radio berkenaan turut mempunyai pendirian yang sama.

Dia berkata, Suria FM sentiasa memberikan peluang kepada artis baharu meskipun mereka belum menempa nama sehinggalah sudah dikenali.

"Di Suria FM kami tidak pernah pilih bulu. Semua penyanyi kami layan sama rata dan menyediakan peluang untuk mengetengahkan karya mereka.

"Ini termasuk dalam setiap acara dan konsert kami seperti siri jelajah sebelum ini yang sentiasa membabitkan bakat baharu, artis muda dan senior," katanya.

SuriaVolusi yang dipersembahkan oleh Suria FM dan AC Gas, bakal berlangsung pada 21 dan 28 Oktober ini masing-masing di The Curve, Petaling Jaya serta di KB Mall, Kota Bharu Kelantan.

Antara barisan artis popular yang terlibat ialah seperti Azlan and The Typewriter, Khai Bahar, Adira, Aris Ariwatan, Baby Shima, Floor 88, Kristal X, Aju Success, Halim Yazid & Dikir Barat dan Renggo Arrow.

Manakala barisan bakat baharu yang turut menjadi pilihan ialah Alyssa Dezek, Xone, Chaca Tisha, Aidilia Hilda, Killa Driz, Siqma X Razzuan, Shafiq Abdillah dan Asraf Nasir

AC Gas juga bakal berkongsi rezeki dengan pengunjung di dua lokasi konsert SuriaVolusi membabitkan hadiah bernilai RM50,000 termasuk wang tunai.

Kota Bharu juga menjadi pilihan kerana ia menjadi lokasi penubuhan syarikat itu dan AC Gas mula menapak.