HIBURAN
"Lain Macamlah Dia Ni" - Kak Ani Ingin Berkolaborasi Dengan Altimet
Ratu etnik dan irama tradisional Noraniza Idris menyimpan hajat untuk berkolaborasi dengan penyanyi rap popular Altimet.
Jelas Kak Ani, penyanyi lagu Bunga itu memiliki keistimewaan tersendiri dan terpegun dengan bakatnya dalam menghasilkan lagu yang menyuntik elemen kemelayuan.
"Walaupun berbeza genre tetapi saya lihat Altimet punyai keunikan yang luar biasa. Sayang bakatnya kalau dipersiakan.
"Karya-karya ciptaannya lain daripada lain dan Altimet tidak semata-mata memperjuangkan muzik.
"Tetapi juga perbendaharaan kata, laras bahasa yang luas, ritma dan paling utama elemen Melayu yang masih kuat dalam karya-karyanya biarpun itu lagu moden," katanya kepada Gempak.
Kak Ani juga mengimpikan untuk memperoleh naskah daripada komposer dan penulis lirik itu.
Dalam perkembangan lain, Kak Ani kini sedang giat melakukan persiapan sempena showcase sulungnya, Sawo Matang Showcase yang akan berlangsung di Matic pada April ini.
Showcase itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah #SaveIramaMalaysia yang akan berakhir dengan konsert Malai Solo di Istana Budaya pada April 2020.
Must-Watch Video