HIBURAN
Buat Penampilan Istimewa Dalam Filem Keajaiban Air Mata Wanita, Prof Dr Muhaya Ada Sebab Terima Tawaran - “Skrip Tiada, Semuanya Spontan”
Pakar motivasi tersohor, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad mengakui pembabitannya dalam filem Indonesia, Keajaiban Air Mata Wanita yang merupakan naskhah adaptasi buku Rahsia Magnet Rezeki itu terjadi secara spontan.
Penampilan istimewa
Membuat penampilan istimewa dalam filem tersebut, Muhaya berkata, dia dipelawa oleh penulis buku Rahsia Magnet Rezeki, Ustaz Nasrullah yang juga penulis skrip untuk muncul sebagai ‘cameo’ dalam filem berkenaan.Biarpun pada awal merasakan permintaan itu sedikit sukar untuk dipenuhi, Muhaya bagaimanapun mula tertarik selepas dimaklumkan pengarah filem Buya Hamka, Fajar Bustomi turut bersama dalam menjayakan Keajaiban Air Mata Wanita.
“Setahun lalu, Pak Nas (panggilan Nasrullah) yang juga sahabat saya datang dan beritahu dia mahu bikin filem.
“Tidak lama selepas itu, Pak Nas beritahu semuanya sudah siap dan minta untuk saya masuk terus,” ujarnya.“Tiba-tiba, dia beritahu mahu saya masuk sekali dalam filem ini dan perlu ke Jakarta, tapi saya cakap susah. “Kemudian Pak Nas beritahu antara yang terbabit untuk filem ini adalah Fajar Bustomi yang bikin filem Buya Hamka, jadi saya sangat tertarik.
Muhaya berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana dan sidang media filem Keajaiban Air Mata Wanita di TGV Suria KLCC, pada Rabu.
Turut hadir pada sesi itu adalah dua pelakon utama, Citra Kirana dan Rezky Aditya bersama kru produksi filem dari Indonesia.
Tiada skrip, hanya spontan
Berkongsi lanjut mengenai penampilannya istimewa itu, Muhaya berkata, kemunculannya dalam filem arahan Indra Gunawan itu tidak berpandukan kepada skrip.Mengulas lanjut, Muhaya yang juga pakar bedah mata berkata, antara sebab dia terbuka untuk menerima pelawaan itu kerana melihat mempunyai mesej positif boleh disampaikan kepada penonton.“Saya boleh kata perkara ini tak dirancang langsung, malah skrip juga tiada dalam perancangan. “Bila produksi datang ke rumah saya, mereka terus mulakan penggambaran. Semuanya terjadi secara spontan tanpa ada skrip,” katanya.
Jelasnya, apa sahaja kegiatan yang dapat menyeru orang ramai kepada kebaikan dan mendekatkan diri kepada Allah perlu sentiasa disokong.
“Saya sokong usaha Pak Nas yang mahu membawa mesej baik menerusi filem. Sebagai seorang yang praktis, untuk mempengaruhi pemikiran seseorang, kita perlukan tiga kaedah iaitu visual, auditori dan emosi.
“Perhatikan dalam semua filem, apa sahaja yang orang menonton dengan emosi, akan masuk dalam diri. Jadi, babak berceramah dalam filem ini semua akan masuk tanpa sedar.
“Ini akan membina seorang insan dan menambah kebaikan kepada ummah,” katanya.
Menerusi filem Keajaiban Air Mata Wanita yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 19 Jun ini, Muhaya membuat kemunculan pada babak terakhir dengan menyampaikan ceramah.
Sebelum ini, filem berkenaan sudah ditayangkan di Indonesia pada 23 Januari lalu dan meraih kutipan memberangsangkan.
Sinopsis:
Keajaiban Air Mata Wanita mengisahkan tentang Kiki lakonan Citra, seorang wanita yang kehidupannya berubah drastik selepas kematian suaminya, Ronald.
Beliau menghadapi pelbagai cabaran termasuk kehilangan pekerjaan, masalah kewangan, dan risiko kehilangan hak penjagaan anak perempuannya, Bunga.
Dengan sokongan sahabat baiknya, Rahma (Natasha Rizky), Kiki berusaha untuk bangkit semula dan mencari kebahagiaan dalam hidupnya.
Must-Watch Video