Drama I-Tanggang sudah pun mula ditayangkan pada Isnin lalu. Banyak respons positif diterima, khususnya terhadap watak Syafiq yang dijayakan oleh pelakon baharu, Nadhir Nasar.

Menerusi drama arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin, Wan Alauddin Wan Zainuddin dan Rashidi Ishak itu, watak Syafiq digambarkan sebagai seorang pemuda yang tidak bersekolah, semata-mata mahu menyara keluarganya.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa watak Syafiq yang dijayakan oleh juara program Hero Remaja 2020 itu begitu dekat dengan dirinya.

Kongsi Nadhir, dia membesar dalam persekitaran yang mirip dengan apa yang watak Syafiq lalui dalam drama I-Tanggang dan menjadikan rakan-rakannya sebagai sumber inspirasi untuk menghayati watak berkenaan.

“Menerusi drama ini, saya memegang watak sebagai Syafiq iaitu abang sulung dalam keluarga yang susah. Syafiq terpaksa berhenti sekolah dan harus bekerja untuk mencari rezeki buat ibu dan adik beradiknya.

“Saya membesar di Taman Medan dan Taman Datuk Harun, Petaling Jaya. Di kawasan tersebut memang ada keluarga yang mirip keluarga Syafiq dan ada juga rakan saya yang pernah berdepan dengan hal yang sama dengan Syafiq.

“Realiti kehidupan yang pernah dilalui sedikit sebanyak membantu saya dalam menghayati watak ini,” ujar Nadhir kepada Gempak.

Nadhir yang pernah membintangi drama bersiri Astro Originals, Projek: Anchor SPM menambah, dia agak ragu-ragu apabila diawarkan untuk memegang watak Syafiq. Namun, dia berasa bersyukur kerana banyak menerima tunjuk ajar daripada pengarah.

“Pada mulanya, saya agak skeptikal dengan diri sendiri, maklumlah saya pelakon baharu dan watak Syafiq ini agak berat.

“Tetapi saya berasa sangat bersyukur kerana diberi banyak tunjuk ajar oleh pengarah dan sepanjang penggambaran, saya berasa ia satu proses yang menyeronokkan,” ujar Nadhir.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.

Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofea Jane, Andy Teh dan Rashidi Ishak, drama I-Tanggang disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.