Pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof, 47, berdepan detik cemas apabila mengalami kecederaan ketika melakonkan babak aksi.

Menurut laporan Harian Metro, Eizlan berkata dia mengalami kecederaan di bahagian rusuk kiri ketika menjalani penggambaran filem seram Town Mall

"Kejadian berlaku tiga hari lalu di sebuah bangunan terbiar di Damansara. Ketika itu saya terjatuh terhentak rusuk kiri ketika melakonkan babak aksi.

"Sebaik jatuh, nafas saya terhenti seketika selama beberapa saat dan terduduk seketika kerana menahan sakit," katanya.

Eizlan mengakui dapat merasai kesakitan teruk pada bahagian itu dan perlu pemeriksaan susulan di hospital berikutan kebimbangan mengalami keretakan tulang.

Malah, kru berada di set penggambaran turut mendengar dentuman kuat akibat impak terjatuh.

Katanya, pengarah Ahmad Idham terpaksa menghentikan penggambaran filem itu.

Eizlan bagaimanapun belum ke hospital kerana mempunyai beberapa hari baki penggambaran perlu disiapkan.

"Saya teruskan juga sebab komitmen kerja dan jadual padat. Saya tidak mahu sebab keadaan saya penggambaran filem itu terpaksa ditunda.

"Saya akan ke hospital menjalani rawatan sepatutnya sebaik saja habis penggambaran dalam dua tiga hari ini," katanya.

Sumber: Harian Metro