Penyanyi terkenal Indonesia, Tulus mengakui dia tidak boleh melakukan dua kerja dalam satu masa.

"Saya mula berkecimpung dalam dunia hiburan semenjak usia 24 tahun, selepas saya menamatkan pembelajaran dalam bidang arkitek di Universiti Katolik Parahyangan di Bandung.

"Saya mahu menghabiskan pembelajaran dahulu, barulah saya berkecimpung dalam dunia seni. Jika saya melakukan dua kerja dalam satu masa, saya rasa sukar untuk memberikan tumpuan.

"Alhamdulillah, kerjaya muzik saya berjalan dengan baik dan saya sudah mengeluarkan tiga album. Kini, album ketiga saya sudah mula dipasarkan di Malaysia," kata Tulus yang ditemui ketika majlis pelancaran album Monokrom di The Intermark, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Popular dengan lagu Pamit, jejaka berusia 31 tahun ini membesar dengan muzik Malaysia.

"Saya berasal dari Bukit Tinggi, Indonesia. Saya sendiri membesar menonton stesen televisyen Malaysia yang siarannya boleh dinikmati di Bukit Tinggi. Jadi, saya sudah terbiasa mendengar lagu-lagu penyanyi Malaysia.

"Jika diberi pilihan untuk berkolaborasi dengan seorang penyanyi Malaysia, tentu saya sukar untuk membuat pilihan kerana ramai yang berbakat besar," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Tulus bakal mengadakan konsert pertamanya di Istana Budaya pada 18 September ini dan acara tersebut dianjurkan oleh Shiraz Projects.

Teks: Kamaruddin Razal