Penyanyi Indonesia Cakra Khan mengakui dia pernah melalui titik terendah dalam hidup ketika negara dilanda pandemik Covid-19 di mana ayahnya meninggal dunia pada 21 Ogos 2020 selain kehilangan kawan baik dalam masa yang sama.

Berkongsi momen paling sedih, Cakra berkata dia sempat menjaga arwah ayahnya, Hermana yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat sakit strok.

“Sebetulnya waktu Covid, banyak hal yang terjadi… waktu itu la my lowest point (titik terendah) sebab saya kehilangan ayah dan juga kawan. Banyak kejadian yang tidak diduga.

“Waktu ayah sakit, saya ada menemaninya di rumah sakit (hospital) tapi ada satu hari itu, saya mahu berangkat (pergi) ke undangan nyanyian, saya dapat tahu keadaan kesihatan ayah tiba-tiba merosot.

“Jadi, saya patah balik, batalkan show dan bila sampai di hospital, ayah sudah meninggal dunia. Ketika itu, saya benar-benar melalui the worst feeling,” katanya kepada Gempak.

Penyanyi lagu Kekasih Bayangan ditemui ketika sidang media Konsert A Decade: Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2023 di Shook! JW Marriot, Kuala Lumpur pada Rabu.

Tidak pernah terfikir untuk berhenti dari dunia hiburan, Cakra bagaimanapun dia kini lebih memberi fokus kepada keluarga terutama ibunya berbanding kerjaya seni.

“Untuk meninggalkan dunia hiburan itu tidak la, tapi waktu itu, buat saya terfikir untuk meluangkan masa sebanyak yang mungkin dengan family. Cara saya mengubat hati, saya balik ke keluarga.

“Saya balik ke rumah ibu dan luangkan masa bersama. Ia sangat membantu dan Alhamdulillah saya boleh mula fokus semula. Walaupun sibuk macam mana pun, saya akan tetap meluangkan masa dengan keluarga.

“Kalau dulu, saya tengah ada kerja ibu telefon, saya akan biarkan dahulu. Tapi sekarang, walaupun saya tengah sibuk di acara, ibu telefon saya akan terus angkat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Cakra akan membuat satu segmen istimewa tribute di konsert yang akan diadakan pada 20 Januari 2023 untuk arwah ayahnya yang menjadi tunjang utama dalam karier seni.

“Banyak benda yang saya menyesal sebab ayah yang banyak memberi sumbangan dalam setiap karya saya. Dia yang mendorong saya untuk menjadi seorang penyanyi. Jadi, di konsert nanti akan ada tribute untuk ayah,” katanya.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!