Harapan penyanyi dan komposer muda, Tuah Adzmi untuk melancarkan single terbaru bersama muzik video serentak hanya tinggal impian.

Setelah selesai merakamkan single kedua bersama FMC Music Februari lalu, pihak pengurusan bercadang untuk terus menyiapkan muzik video pada bulan Mac agar dapat dilancarkan serentak di YouTube hari ini.

Bismillahirahmanirahim ✨ Buat penggemar lagu "Kecewa", Inshaallah esok akan release Official Lyric Video di channel youtube @fmcmusic ☺️ Semoga lagu ni mendapat tempat dihati anda semua, inshaallah lepas keadaan kembali pulih nanti kita release Muzik Video ? #stayhome #staysafe #dudukrumah #fmcmusic #tuah #tuahadzmi #officialtuah #kecewa

A post shared by Tuah Adzmi (@officialtuah) on


Namun begitu, takdir telah menetapkan perkara yang sebaliknya.

Gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), single yang berjudul Kecewa ciptaan sepenuhnya oleh Tuah hanya dapat dilancarkan di YouTube dalam bentuk lirik video sahaja.

Tidak menyalahkan situasi dan keadaan semasa, pemilik nama penuh Arumi Nafis Mohd Adzmi, 22, ini masih bersyukur.

"Pasti ada hikmah yang besar buat single terbaru ini. Apa yang saya rasakan kini oleh hanyalah perasaan berdebar dan risau.

"Adakah single Kecewa dapat menerima respon positif dan menandingi single pertama saya, Insan Kau Cinta yang telah berjaya mencatatkan 6.8 juta penonton di YouTube?" ujar Tuah.


Masih mengekalkan genre muzik balada, Tuah telah mengekspresikan segala rasa di dalam lagu ini bagi memastikan single kali ini lebih mempunyai "soul" dan dapat melekat dihati pendengar.

"Sebagai penyanyi dan pencipta lagu ini, pastinya saya meletakkan harapan yang luar biasa. Ini merupakan cabaran besar bagi pencipta muda seperti saya.

"Sebelum menyertai FMC Music, saya pernah viral dengan lagu ciptaan sendiri iaitu Air Mata Rindu yang mendapat 9.8 juta tontonan di YouTube sekitar tahun 2018," katanya lagi.


Bercakap tentang PKP, Tuah berharap agar semua peminat dan masyarakat Malaysia mematuhi dan jangan ingkar arahan dengan arahan kerajaan kerana sikap sambil lewa akan membuat tempoh PKP menjadi lebih panjang.

Kepada pembaca Gempak, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!